KOTA BHARU – Jumlah mangsa jenayah seksual melibatkan remaja bawah umur 16 tahun meningkat kepada 116 individu bermula 1 Januari hingga 17 Disember tahun ini berbanding 91 individu sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, ia melibatkan kes rogol, liwat dan cabul membabitkan individu yang masih pelajar sekolah serta sudah tidak bersekolah.
"Bagi mangsa bawah umur 16 tahun yang bukan pelajar sekolah pula, seramai 21 individu direkodkan tahun lalu meningkat kepada 44 individu dalam tempoh sama tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pocket Talk Ketua Polis Kelantan 2023: Gejala Sosial Remaja-Caknakah Kita? di Kota Darulnaim pada Rabu.
Menurutnya, dalam tempoh berkenaan, suspek jenayah seksual dalam kalangan pelajar yang berusia bawah 19 tahun, bagaimanapun menurun daripada 21 individu kepada 12 individu.
"Bagi suspek bukan pelajar pula meningkat daripada tiada suspek tahun lalu kepada empat suspek tahun ini,” katanya.
Tambahnya, selain itu, bagi Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) melibatkan 57 mangsa pelajar sekolah dan sembilan mangsa bukan pelajar sekolah bawah usia bawah 18 tahun tahun ini.
Muhamad Zaki berkata, tahun lalu, seramai 44 mangsa dalam kalangan pelajar sekolah dan lapan bukan pelajar sekolah menjadi mangsa bawah AKSTK.
"Dalam tempoh Januari hingga 17 Disember lalu, lapan suspek pelajar sekolah ditahan manakala 20 suspek bukan pelajar sekolah masing-masing berusia 19 tahun ke bawah ditahan
"Sementara itu, pada tahun lalu juga enam suspek iaitu pelajar sekolah ditangkap bagi kesalahan berkenaan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Muhamad Zaki meminta masyarakat umum memainkan peranan bersama-sama polis untuk menangani kes jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur.
Jelasnya, ibu bapa juga pihak yang sangat penting dalam memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan jenayah itu sama ada menjadi mangsa atau suspek.
"Semua pihak harus bertanggungjawab menjadikan generasi muda dapat menjadi pelapis pemimpin yang berkualiti pada masa akan datang,” ujarnya.