HUJUNG minggu atau bila tibanya musim cuti sekolah, ramai orang memilih untuk mengadakan majlis kahwin.
Mungkin disebabkan mudah untuk mengaturkannya kerana ahli keluarga dan sanak saudara sedang cuti serta berkumpul.
Ya, tidak salah menjemput orang untuk majlis kahwin sendiri atau kaum kerabat bagi meraikan hari bahagia masing-masing. Cuma adakalanya kita dapat lihat acara seperti itu terlalu gah hingga menyebabkan berlaku pembaziran.
Bolehkah begitu? Apakah hukumnya mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran?
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, tiada masalah untuk mengadakan kenduri perkahwinan kerana ia dibolehkan.
Bahkan katanya, ia begitu dianjurkan dalam Islam bagi menzahirkan rasa kegembiraan dan syukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT dengan kehadiran pasangan baharu.
"Ini kerana terdapat larangan yang jelas daripada al-Quran dan as-Sunnah,” katanya sepertimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.
Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam satu riwayat lain, ‘Imran bin Husain berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH SWT menyukai apabila DIA memberi nikmat (atau kurniaan) ke atas hamba-NYA, agar terlihat kesan nikmat yang diberikan-NYA itu padanya.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Mengulas lanjut tentang pembaziran itu, Zulkifli kemudian mengemukakan pandangan dinukilkan dalam kitab al-Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram yang menyatakan:"Berdasarkan kesan dari mengadakan majlis walimah yang melampaui had yang tidak munasabah baik sebelum dan selepas perkahwinan dan juga kesan yang timbul akibat tergelincir daripada prinsip sehingga menyebabkan ramai dari kalangan masyarakat tidak mampu memberi nafkah perkahwinan.
"Oleh yang demikian, majlis ulama memandang pentingnya membaiki situasi ini dengan melarang daripada pemborosan dan melampaui batas dalam majlis perkahwinan, serta memberi amaran kepada orang-orang tentang hal tersebut.”
Melihat kepada fakta itu, Zulkifli menyarankan supaya pihak yang mengadakan majlis memastikan bahawa makanan yang disediakan untuk tetamu tidak membazir.
"Kami cadangkan pihak tuan rumah yang mengadakan kenduri cuba bertanya kepada mereka berkeahlian dan berpengalaman tentang jumlah yang sesuai untuk tempahan makanan serta minuman untuk perkara tersebut,” katanya.
Pada masa sama, agamawan itu mencadangkan supaya tuan rumah berhubung dengan pihak rumah anak-anak yatim, orang tua mahupun pelajar asrama dan golongan miskin untuk dijamu.
"Ini akan menambahkan lagi keberkatan majlis yang diadakan dan mendapat keredaan ALLAH SWT,” ungkapnya.