PELAKON Chew Kin Wah mendedahkan pernah diketepikan daripada membintangi sebuah drama bersiri kerana tidak boleh berbahasa Mandarin.
Kin Wah atau nama Islamnya Anuar Abdullah, 57, turut meluahkan rasa hairan apabila bahasa Mandarin lebih diberi keutamaan, walhal bahasa Cina juga mempunyai banyak loghat lain seperti Kantonis, Hokkien, Teochew, Hainan dan Fuzhou.
"Wakil dari stesen TV itu tanya sama ada saya boleh berbahasa Mandarin dan saya beritahu, saya hanya pandai berbahasa Kantonis. Jadi mereka tidak jadi tawarkan saya drama itu.
"Kemudian bila saya tonton drama di stesen TV mereka, ada pula siaran drama Stephen Chow yang berbahasa Kantonis. Boleh pula?
"Kenapa tidak angkat bahasa Kantonis kerana ia lebih popular dalam arena perfileman di Hong Kong?" soalnya.
Kin Wah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya, Rain Town di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur, Isnin.
Justeru, Kin Wah merasakan bahasa Kantonis seakan sudah diketepikan, sementelah pengarah Rain Town, Tunku Mona Riza mengakui sukar untuk mencari penyanyi yang pandai menghasilkan lagu dalam bahasa Kantonis.
"Sejak saya berlakon, hanya sekali saya berpeluang berlakon drama Kantonis, iaitu sekitar tahun 2002. Selepas itu, kebanyakan drama yang diterbitkan hanyalah drama berbahasa Mandarin.
"Jadi bila Tunku Mona beritahu dia mahu menghasilkan filem mengenai masyarakat Cina, soalan pertama yang saya ajukan pada beliau, guna bahasa apa? Bila beliau kata bahasa Kantonis, saya terus setuju," ujarnya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai filem Rain Town, Kin Wah berkata, antara faktor lain dia menerima tawaran itu adalah disebabkan dapat berada dekat dengan keluarga, di samping menikmati makanan yang sedap di Taiping.
"Selain itu saya teruja kerana dapat berlakon bersama Susan Lankester. Pengalaman yang menarik sepanjang membintangi filem ini," katanya.
Selain Kin Wah dan Susan, Rain Town turut dibintangi Fabion Loo, Pauline Tan dan Wilson Lee.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam bermula 8 Februari depan.
Kembali ke Indonesia
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan seninya, Kin Wah berkata, setakat ini dia masih bercuti dan akan kembali ke Indonesia awal tahun depan untuk beberapa projek filem dan siri yang sudah dipersetujui.
Bahkan ada beberapa buah filem lakonannya bersama produksi Indonesia juga dijangka akan menemui penonton awal tahun depan, termasuk bersama laman penstriman, Netflix.
"Saya agak bangga sebab filem lakonan saya Perang Kota akan menemui penonton di Indonesia tidak lama lagi. Selain itu ada satu projek filem untuk siaran Netflix.
"Ada juga drama siri yang diadaptasi dari buku, di mana saya perlu bertutur bahasa Cina Jawa. Ada satu lagi filem yang masih dalam perbincangan, tetapi saya harap projek itu jadi kerana saya mahu bekerja dengan pengarahnya.
"Cuma di Malaysia, ada satu sahaja tawaran filem yang sudah dipersetujui, yang lain setakat ini belum ada rezeki lagi," jelasnya.