Lelaki warga Bangladesh tipu pembahagian permit kerja diberkas

Iklan
Baharuddin

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Bangladesh yang mendakwa dirinya pengerusi syarikat yang mengendalikan pembaharuan permit kerja melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan 'Flying Passport diberkas pada Selasa.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, lelaki berusia 26 tahun itu berjaya ditahan dalam satu operasi yang dilaksana di Tampoi sekitar jam 1.55 petang Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek dipercayai sudah bergiat aktif menjalankan bisnes haram itu sejak awal tahun 2023 dengan menggunakan pelbagai taktik dan modus operandi mereka mencari dan mengumpulkan pasport warga asing dari rumah ke rumah.

"Ditegaskan di sini bahawa pihak imigresen tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk menguruskan permohonan RTK 2.0 dan sekiranya ada individu yang berbuat demikian ia merupakan sindiket yang mengaut keuntungan dengan bayaran yang tinggi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Pejabat Imigresen Negeri Johor, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Taman Setia Tropika pada Rabu.

Dalam serbuan tersebut, turut ditahan dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar berusia lewat 20-an yang disyaki terlibat sebagai ‘runner’ (budak penghantar) syarikat berkenaan.

Baharuddin melihat barang rampasan yang dilakukan JIM Negeri, Johor pada Rabu.

Iklan

Pada masa sama, JIM Johor turut menyita sebuah kenderaan jenis Lexus RX berwarna hitam selain merampas tiga pasport antarabangsa melibatkan satu dari Bangladesh, Indonesia (dua), sebuah komputer riba dan external hard disk yang mengandungi pelbagai maklumat permohonan RTK 2.0, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,058.

Sementara itu, Bahauddin berkata, sehingga kini pihaknya telah berjaya menumpaskan tiga sindiket penipuan berkaitan pembaharuan permit kerja melalui RTK 2.0 dan 'Flying Passport' pada bulan Disember termasuk kes terbaharu terbabit.

Tambahnya, kesemua kejayaan itu hasil Ops Serkap pertama berkaitan 'Flying Passport' di Iskandar Puteri yang ditumpaskan pada 3 Disember lalu termasuk menahan seorang wanita warga tempatan dan seorang lelaki warga China bersama lima pasport China, wang tunai berjumlah RM12,100 serta menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X berwarna putih.

"Wanita tempatan berkenaan disyaki menjadi orang tengah dalam sindiket ini dan kedua-dua suspek dituduh di bawah Seksyen 12(1) (f) Akta Passport 166 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri.

"Ops Serkap kedua pula dijalankan pada 8 Disember lalu dan JIM Johor berjaya memberkas pasangan warga asing melibatkan lelaki warga Bangladesh dan wanita warga Indonesia yang disyaki sebagai ejen sindiket memperbaharui permit kerja secara 'fraud' di sebuah rumah flat di Pasir Gudang.

"Dalam serbuan itu, pihak JIM Johor turut merampas 10 naskhah pasport antarabangsa Bangladesh dan tiga naskhah pasport antarabangsa India serta wang tunai berjumlah RM34,983," katanya.