35 banduan bebas awal sempena Krismas

Iklan
Mohamad Ismail (dua dari kiri) berucap di hadapan banduan yang terlibat dalam program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani, 'Kepulangan Yang Dinanti' sempena Krismas.

BENTONG - Seramai 22 banduan dari Penjara Bentong dan 13 banduan dari Penjara Chenor dibebaskan awal menerusi program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani, 'Kepulangan Yang Dinanti' sempena sambutan Krismas tahun ini.

Kesemua mereka yang dibebaskan terdiri daripada pesalah kes dadah dan jenayah.

Iklan
Iklan

Seorang banduan yang mahu dikenali sebagai Saiful, 30, berkata, peluang dibebaskan awal akan digunakan untuk membina kehidupan baharu lebih baik bersama keluarga.

Ujar bekas guru agama di sebuah pusat tahfiz di Kelantan itu, dia akan mengusahakan perniagaan dengan sokongan isteri dan ahli keluarganya selepas ini.

Iklan

"Saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai guru agama di sekolah rendah kerajaan selepas empat tahun berkhidmat akibat hukuman ini.

"Saya reda dengan apa yang berlaku, ALLAH telah tentukan perjalanan hidup saya. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian yang tidak pernah diduga itu," katanya.

Iklan

Saiful telah menjalani hukuman tiga tahun penjara dan denda RM5,000 kerana kesalahan kecuaian hingga menyebabkan kematian apabila van dipandu pada 2017 menyebabkan tujuh pelajar maut.

Bagi banduan dikenali sebagai Harun, 37, yang berasal dari Bera, dia dikenakan hukuman penjara selama 16 bulan kerana terbabit dengan kesalahan dadah.

Menurutnya, pengalaman menghuni Penjara Bentong banyak mengajarnya erti keinsafan.

"Peluang pembebasan ini akan saya manfaatkan sebaiknya.

"Banyak kesilapan telah saya lakukan selepas terjebak dengan dadah sejak di bangku sekolah hingga ditangkap sebanyak 14 kali," katanya yang ingin membantu ibunya mengusahakan ternakan kambing.

Sementara itu, Pengarah Penjara Bentong, Timbalan Komisioner Penjara, Mohamad Ismail berkata, sebanyak lima siri PBSL diadakan tahun ini iaitu sempena Aidilfitri, Aidiladha, Hari Kebangsaan, Deepavali dan Krismas.

"Kita berharap keluarga dan masyarakat dapat menerima bekas banduan dalam memastikan mereka tidak kembali melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Terdapat keluarga seolah tidak memberi sokongan pada bekas banduan, mereka membuang hingga tidak membenarkan individu terbabit pulang ke rumah, malah ada juga kes ibu tidak menerima anak mereka," katanya selepas merasmikan program tersebut di Dewan Perdana Penjara Bentong di sini.

Beliau juga berharap semua keluarga dapat bersatu semula membentuk keluarga bahagia serta jumlah banduan di Penjara Bentong dapat dikurangkan secara berperingkat.