PUTRAJAYA - Novel seram berjudul Runcing II hasil karya Zharulnizam Z.A memaparkan kisah permainan mistik yang dekat di hati masyarakat.
Zharulnizam berkata, penghasilan novel itu berdasarkan pemerhatian, kajian dan keberanian meneroka alam mistik dalam budaya masyarakat.
"Novel ini kesinambungan daripada siri satu dan bercakap tentang Runcing II ini berdasarkan penyelidikan dan penceritaannya tidak lari daripada tauhid yang benar.
"Penceritaannya menggambarkan bahawa tiada yang dapat menandingi kuasa ALLAH, meskipun ceritanya menyentuh amalan sihir dan tentang khadam jin," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau juga merujuk kepada kitab tafsir serta meneliti kisah yang berhubungkait dengan alam mistik.
"Saya juga merujuk kepada individu yang mahir tentang sihir, jadi saya menyeru kepada peminat novel seram untuk memilikinya kerana ia membawa mesej ketauhidan dan keagungan ALLAH SWT.
"Novel ini bukan 'kosonglah', saya sertakan juga ayat ruqyah (yang saya kaji), untuk diamalkan oleh pembaca atau pengamal perubatan," katanya.
Terdahulu Novel Runcing I antara yang mendapat permintaan tinggi sehingga mendorong Grup Buku Karangkraf (GBK) mencetak semula novel seram keluaran Buku Prima khusus untuk Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF 2023).
Eksekutif Pemasaran GBK, Nurul Shahirah Jasman berkata, buku itu merupakan antara karya terlaris dan sentiasa menjadi carian utama setiap kali pesta buku diadakan.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai novel Runcing II, Zharulnizam berkata, dari segi sambutan beliau tidak menyangka bahawa pengikut dan peminat masih setia menunggu sambungan Runcing I.
"Segala puji bagi ALLAH. Saya benar-benar terharu. Tidak menyangka bahawa karya ini mendapat sambutan hangat daripada peminat karya saya.
"Jadi bagi mana-mana yang masih berminat bolehlah mendapatkannya," katanya.