Kerajaan laksana kajian kukuh perundangan tangani jenayah dalam talian

Iklan
Azalina - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menjalankan kajian untuk mendapatkan satu keputusan dasar berhubung pindaan kepada perundangan sedia ada dan penggubalan undang-undang baharu mengenai prosedur dan kuasa bagi menangani aktiviti jenayah dalam talian secara komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan pada Rabu berkata, usaha yang termasuk kajian perbandingan dan konsultasi awam itu akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula bulan depan dengan kerjasama ahli akademik di universiti tempatan.

Iklan
Iklan

"Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan dan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus menangani isu jenayah dalam talian bagi memastikan kewujudan persekitaran digital yang selamat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu akan dilaksanakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Iklan

Perkara itu hasil keputusan mesyuarat antara BHEUU, NFCC, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang dipengerusikan beliau pada Rabu.

"Sebagai tindak balas kepada cabaran yang semakin meningkat yang disebabkan oleh ancaman jenayah dalam talian, Kerajaan Perpaduan menggiatkan usaha dan komitmennya untuk memerangi jenayah dalam talian melalui reformasi perundangan selaras dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi.

Iklan

"Mesyuarat ini bertujuan untuk meneliti cabaran dan undang-undang sedia ada di bawah pelbagai kementerian dan/atau agensi yang berhubungan dengan ancaman jenayah dalam talian dan mengenal pasti langkah perundangan yang komprehensif yang boleh membanteras jenayah tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, lebih RM173 juta jumlah kerugian dilaporkan setakat 30 November lepas dengan 8,213 kertas siasatan dibuka NFCC, PDRM, MCMC dan BNM melibatkan pelbagai peruntukan termasuk melibatkan 529 akaun yang dibekukan dengan nilai lebih RM65.9 juta. - Bernama