KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta nama di pentas Asia membuka peluang buat kelab Liga Malaysia (Liga-M) mengikut jejak langkah skuad Harimau Selatan ke arena berprestij itu.
Mana tidaknya, JDT berada dalam kelompok 20 terbaik Asia selain ditambah dengan kerja keras skuad Harimau Selatan yang mengutip mata demi mata apabila beraksi pada kejohanan tersebut.
Hasilnya membolehkan pasukan Liga M bersaing di gelanggang lebih besar Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada musim 2024.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu dengan kemenangan JDT di semua kejohanan domestik membolehkan pasukan lain beraksi di Asia.
"Kita tenang saja, tak macam orang 'jakun'. Kalau JDT tak menang liga, Piala FA, Piala Malaysia, tak merasa ke Asia yang ada tu. Yang main ACL Elite (ACLE) ni pun setiap tahun main Asia, 'relax' saja.
"Itulah mentaliti JDT. Malaysia dapat main ACL pun pasal siapa kalau tak JDT menyumbang mata," tulis Tunku Ismail di laman sosial.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Esteban Solari akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bagi musim 2024/25 selepas menjuarai Liga Super musim ini.
Bagaimanapun disebabkan JDT turut merangkul Piala FA pada musim ini, satu lagi slot iaitu slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) diberikan kepada naib juara Liga Super iaitu Selangor FC (SFC).
Dalam pada itu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) membuka mulut memberitahu kejayaan Selangor FC adalah hasil ideanya yang mencadangkan nama Cheng Hoe untuk membimbing pasukan tersebut.
"Tan Cheng Hoe pun siapa yang 'recommend' masa perjumpaan di Hotel Hyatt KL? Manusia ni cepat lupa. Kadang kala dalam hidup ni jangan segan nak ucap terima kasih.
"Selamat malam keluarga JDT ku. Raja bola sepak zaman profesional," katanya.