Harga mengelirukan, pemilik restoran caj sotong manis RM50 dikenakan tindakan

Iklan
Pemeriksaan dilakukan oleh penguat kuasa KPDN Sabah di sebuah restoran yang menjual sotong manis RM50 di Kota Kinabalu. - Foto KPDN Sabah

KOTA KINABALU - Pemilik premis menjual sotong manis dengan harga RM50 seekor dikenakan tindakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, pada Rabu.

Tindakan itu dikenakan selepas pihak restoran didapati meletakkan harga lauk yang mengelirukan dan tidak jelas kepada pelanggan.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah KPDN Sabah Zulfamy Mat Udi berkata, tindakan itu diambil susulan aduan berhubung sebuah restoran di Kota Kinabalu yang menjual lauk sotong manis berharga RM50.

Zulfamy berkata, berdasarkan pemeriksaan, premis tersebut ada menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk sotong manis.

Iklan

"Bagaimanapun, KPDN menasihatkan pemilik premis supaya memaklumkan harga dengan lebih jelas dari segi saiz sotong manis tersebut.

"Sebagai contoh, berapa harga untuk sotong manis saiz kecil, sederhana dan besar. Penandaan harga lebih khusus ini untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.

Iklan

"Sebagai tindakan lanjut, premis telah dikenakan tindakan dan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan serta tidak jelas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu sebagai maklum balas berhubung isu tular sotong manis yang dijual RM50 seekor seperti yang didakwa seorang pengguna Facebook, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah berkata, satu notis pengesahan maklumat barangan (NPMB) di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi makanan sotong manis turut dikeluarkan kepada pemilik premis tersebut.

Penandaan harga yang tidak jelas dan mengelirukan pelanggan dipamerkan di restoran tersebut. - Foto KPDN Sabah

"Notis itu bagi mendapatkan maklumat berhubung harga makanan tersebut dan diminta untuk memberi maklum balas dalam tempoh dua hari.

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga kepada KPDN Sabah," katanya.

Beliau dalam pada itu, Zulfamy turut menasihati orang ramai supaya bertanya terlebih dahulu kepada pemilik kedai atau menyemak senarai harga yang dipamerkan sebelum mengambil makanan bagi mengelakkan masalah tersebut berlaku.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang pengguna Facebook meminta orang ramai berhati-hati menjamu selera di sebuah restoran terbabit selepas dikenakan bayaran RM50 untuk seekor sotong dalam hidangannya.

Dalam hantaran di media sosial itu turut disertakan gambar sepinggan nasi berlaukkan sotong manis dan sayur bersama resit dengan jumlah keseluruhan makanan bernilai RM75.

Hantarannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang terkejut dengan harga sotong manis yang tertera pada resit tersebut.