Sendiri buat salah tapi kutip derma untuk bayar denda

Iklan
Gambar hiasan

KEMPEN kutip derma daripada orang awam untuk bayar denda mahkamah atau sebab kalah saman fitnah seolah-olah sudah jadi trend sekarang.

Pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown contohnya baru-baru ini telah melancarkan kempen kutip dana awam bagi mengumpul 75,000 pound sterling (RM447,00) untuk membayar ganti rugi dan yuran guaman kerana memfitnah Sultanah Terengganu.

Iklan
Iklan

Dahulu pun dia pernah buat perkara yang sama ketika disaman oleh seorang presiden parti. Khabarnya wanita kontroversi itu berjaya kutip 30,000 pound sterling daripada 615 penyumbang dalam masa tiga hari sahaja.

Seorang timbalan ketua menteri pula berjaya mengutip RM1.52 juta dalam masa kurang tujuh hari untuk membayar saman pendakwah bebas terkenal. Mahkamah putuskan dia bersalah atas dua perbuatan fitnah.

Iklan

Merak Jalanan perhatikan sikap ini telah berjangkit kepada hal-hal lain pula. Sampaikan kereta rosak sebab kemalangan pun, ada penceramah terkenal yang tergamak buka tabung minta derma. Jumlah yang diminta sekali pandang tidaklah banyak, cuma RM5 seorang. Tapi kalau sasarannya 1,000 orang pengikut, sudah RM5,000!

Merak Jalanan teringatkan kisah terkenal tahun 1990-an apabila seorang eksekutif di Hock Hua Bank menjadi jutawan dengan mengambil hanya satu sen daripada akaun bank setiap pelanggannya. Pencuri satu sen ini berjaya mengumpul wang tunai RM4.01 juta dan membeli enam buah kereta mewah.

Iklan

Minta derma dan curi duit pelanggan bank mungkin berbeza tetapi matematiknya sama iaitu ambil seorang sedikit lama-lama jadi bukit.

Merak Jalanan susah untuk bersetuju dengan tindakan mengutip derma demi kepentingan diri sedangkan terang-terang ia salah sendiri. Lebih malang mereka bagai sengaja mempergunakan pengikut dan penyokong yang kasihan kepadanya.

Merak Jalanan risau kalau-kalau trend ini menyebabkan orang tidak lagi takut melanggar undang-undang kerana tahu orang ramai boleh bayarkan denda untuk mereka.