YaPEIM sumbang RM50,000 bantu 100 pengamal media

Iklan
Mohd Na’im (enam dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan pada Majlis Penghargaan dan Amal YaPEIM Bersama Media 2023 pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada 100 pengamal media yang memerlukan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pemberian inisiatif tersebut bertujuan bagi memberi motivasi dan galakan kepada semua warga media terutamanya bagi mereka yang ditimpa musibah atau berdepan masalah kewangan.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif baharu YaPEIM pada tahun ini bagi membantu wartawan, jurugambar, jurukamera dan bekas pengamal media, di mana setiap seorang akan menerima RM500.

"Saya mengucapkan syabas, tahniah dan terima kasih kepada pihak YaPEIM yang mengambil inisiatif untuk membantu rakan-rakan media kita.

Iklan

"Jumlah ini tidak mampu membantu warga media secara keseluruhan, tetapi saya harapkan semoga dengan sedikit sumbangan ini kita dapat memperkukuhkan hubungan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penghargaan dan Amal YaPEIM Bersama Media 2023 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras pada Khamis.

Iklan

Inisiatif itu disampaikan melalui penyelarasan dengan lima persatuan media iaitu Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Persatuan Jurugambar Media Malaysia (MPPA), Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), Kelab Media Putrajaya dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Sementara itu, ujar beliau, organisasi media memainkan peranan penting dalam melaporkan berita dan menyebar luas maklumat berhubung YaPEIM kepada seluruh masyarakat.

"Peranan yang dimainkan oleh YaPEIM tidak dapat disebar luas kepada rakyat tanpa peranan yang dimainkan oleh rakan-rakan media.

"Tanpa kerjasama dan bantuan yang warga media mainkan, apa sahaja inisiatif yang dibuat oleh YaPEIM ini tidak akan sampai ke pengetahuan rakyat,” menurutnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, pihaknya berhasrat meletakkan YaPEIM sebagai Badan Pembangunan Ekonomi dan Sosial yang cemerlang dalam aspek pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial.

"Kami juga berhasrat menjadi rujukan di peringkat nasional mahu pun global dalam pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial, dikemudi dengan tata kelola yang baik, penuh tanggungjawab dan ketelusan.

"Pelbagai strategi dan inisiatif disusun bagi mencapai hasrat ini, sesuai dengan Pelan Transformasi Najah YaPEIM yang dilancarkan oleh Mohd Na'im pada 5 Disember lalu,” jelasnya.