KEPALA BATAS - Seorang lelaki yang hilang ditemukan maut dipercayai lemas selepas bot yang dinaiki karam ketika menangkap udang di Sungai Muda di sini pagi hari ini.
Operasi pencarian yang bermula jam 10.40 pagi dihentikan selepas mayat mangsa ditemukan pada jam 2.40 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Muhammad Najmi Mohd Lazim, 22, hilang selepas bot fiber dinaiki bersama dua rakannya karam.
Menurutnya, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa dikatakan keluar menangkap udang bersama dua rakannya namun mereka terjatuh ke dalam Sungai Muda setelah bot fiber yang dinaiki bocor.
"Difahamkan kesemua mangsa telah ke Sungai Muda untuk menangkap udang pada jam 6.10 pagi tadi (semalam) di sebuah pulau kecil di tengah sungai berkenaan.
"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, bot fiber milik mangsa mengalami kebocoran lalu ketiga-tiga mangsa telah jatuh ke dalam sungai tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri namun Muhammad Najmi yang pada mulanya sempat berpaut pada bot gagal diselamatkan kerana tidak pandai berenang.
"Kedua-dua rakannya sedaya upaya membantu mangsa namun gagal kerana tarikan air yang kuat mengakibatkan mangsa ditarik masuk ke dalam sungai tersebut.
"Ketiga-tiga mereka tidak memakai jaket keselamatan," katanya.
Operasi pencarian melibatkan beberapa anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bertam; Tasek Gelugor, Bandar Perda dan Paya Terubong yang bermula jam 8.17 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang selepas bot karam ketika tangkap udang