'Pengantin kanak-kanak' bunuh suami dihukum gantung sampai mati

Iklan
Seorang wanita dari Iran dikenakan hukuman gantung selepas disabitkan kesalahan membunuh suaminya yang dikahwini ketika masih kanak-kanak.

PARIS - Seorang wanita dari Iran dikenakan hukuman gantung selepas disabitkan kesalahan membunuh suaminya yang dikahwini ketika masih kanak-kanak, tanpa menghiraukan kempen antarabangsa mendesak dia diampunkan.

Pengarah kumpulan Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Norway, Mahmood-Amiry Moghaddam berkata, wanita berkenaan dikenali sebagai Samira Sabzian.

Iklan
Iklan

Jelasnya, Samira dipenjarakan sejak sedekad lalu dan dihukum bunuh ketika waktu subuh pada Rabu di penjara Ghezel Hesar di bandar satelit Tehran, Karaj.

Tambah beliau, wanita itu adalah pengantin kanak-kanak yang berkahwin dengan suaminya pada usia 15 tahun dan menurut saudara-maranya dia juga menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Iklan

"Dia ditahan 10 tahun lalu ketika berusia 19 tahun atas tuduhan membunuh suaminya dan kemudian dijatuhi hukuman mati.

"Dia mempunyai dua anak yang tidak pernah dilihatnya selepas ditahan sehingga mesyuarat terakhir di penjara awal bulan ini.

Iklan

"Samira adalah mangsa 'apartheid jantina' apabila melalui fasa perkahwinan kanak-kanak termasuk keganasan rumah tangga selama bertahun-tahun dan hari ini dia menjadi mangsa pembunuh rejim yang tidak cekap serta makan rasuah," katanya.

Dalam pada itu, Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International (Amnesty), sudah lama menimbulkan kebimbangan mengenai lonjakan hukuman mati di Iran pada 2023 apabila sekurang-kurangnya 115 orang dibunuh pada November saja.

Justeru, Amnesty menggesa Iran tidak melaksanakan hukuman tersebut dengan menyatakan pihak berkuasa sebenarnya melakukan 'pembunuhan atas nama negara'.

Sementara itu, Kerajaan British pula meminta Iran untuk menyelamatkan nyawa Samira.

"Samira adalah mangsa perkahwinan kanak-kanak. Iran mesti menghentikan layanan buruknya terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan," kata Menteri Luar Negeri, Tariq Ahmad menerusi platform X.

Menurut IHR, 18 wanita dihukum mati di Iran tahun ini, termasuk Samira Sabzian. - AFP