Covid-19: 'Jangan dekat jika batuk, walaupun suami isteri'

Iklan
Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di kawasan awam dan tertutup berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika ini. (Gambar kecil: Sivanesan)

IPOH - Rakyat disaran meningkatkan kawalan kendiri ketika musim perayaan dan cuti sekolah ini susulan terdapat peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, sekiranya terdapat simptom awal Covid-19, individu itu perlulah segera mendapatkan pemeriksaan di hospital dan melakukan langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dan pengasingan diri.

Iklan
Iklan

"Kita ikut saranan sepenuhnya Kementerian Kesihatan (KKM). Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu kita dah latih diri berdepan Covid-19, jadi dari segi pengetahuan sudah ada, ikut sahaja langkah yang sama.

"Jaga jarak, pakai pelitup muka jika perlu dan sekiranya ada gejala terus jumpa doktor, ada batuk jangan datang dekat meskipun anda suami isteri.

Iklan

"Walaupun varian (Omicron) yang ada sekarang tidak seaktif semasa pandemik dahulu, tetapi kita masih perlu amalkan langkah berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Apresiasi Media Perak bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah PASAK, Aldrin Ng.

Sivanesan berkata, langkah-langkah kawalan itu jika dipraktikkan akan dapat membendung penularan kes daripada terus meningkat lebih-lebih lagi dalam tempoh negeri ini meraikan Tahun Melawat Perak 2024.

Katanya, setakat ini kes Covid-19 di negeri ini masih terkawal apabila rekod menunjukkan hanya sekitar 600 kes dengan jumlah kematian yang sangat rendah.

"Data-data yang tepat akan saya keluarkan dalam masa terdekat, apa pun saya harap kita boleh kekal di situ (jumlah kes), hanya yang membimbangkan kita apabila ada orang luar datang ke negeri ini pada musim cuti sekolah dan perayaan dalam tempoh dua ke tiga minggu ini.

"Kita ada Krismas dan selepas itu Thaipusam yang menyaksikan ratusan ribu orang berkumpul. Nasihat saya kalau ada ahli keluarga yang nak datang dari jauh dan ada gejala seperti sakit tekak dan demam, eloklah minta mereka tinggal di tempat mereka sehingga sembuh dahulu," katanya.

Jangkitan Covid-19 menyaksikan peningkatan kepada 20,696 kes di seluruh negara untuk tempoh 10 hingga 16 Disember lalu, perkembangan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 8,000 kes berbanding minggu sebelumnya.

Sementara itu, lebih 30 pengamal media pelbagai agensi bertugas di negeri ini memeriahkan majlis Apresiasi Media Perak menerusi acara pertandingan boling dan makan malam.

Pelaksanaan program itu antara lain bagi menghargai peranan media dalam membantu pembangunan negeri ini dan mengukuhkan kerjasama dengan PASAK dalam pelaporan berita.

Aldrin berkata, PASAK telah menerima peruntukan tambahan RM500,000 daripada kerajaan negeri bagi pelaksanaan pelbagai program tahun hadapan yang menfokuskan keperluan pembangunan sumber manusia di negeri ini.

Ujarnya, program merangkumi aspek antaranya pendidikan, industri, latihan kemahiran dan modal insan itu dilaksanakan selari dengan kecenderungan kerajaan negeri.

"Macam sekarang, kerajaan Perak memberi fokus lebih kepada pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim; perindustrian baru berteknologi tinggi di Kerian juga perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hulu Perak.

"Maka program-program kita termasuklah karnival kerjaya yang dilaksanakan di daerah-daerah akan disusun mengikut keperluan itu," katanya.