LIVERPOOL membelasah West Ham United 5-1 pada awal pagi Khamis untuk mara ke separuh akhir Piala Liga Inggeris mengubat kekecewaan mereka seri dengan Manchester United baru-baru ini.
Curtis Jones meledak dua gol manakala Dominik Szoboszlai, Cody Gakpo dan Mohamed Salah turut berada dalam senarai penjaring untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu menempah pertemuan dengan Fulham pada pusingan separuh akhir.
Tiada pasukan yang memenangi lebih banyak Piala Liga daripada Liverpool yang menjulang trofi itu buat kali kesembilan pada musim 2021/22.
The Reds melakukan 34 percubaan ketika menentang United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris Ahad lalu tetapi gagal menjaringkan gol selain turut gagal menang di tempat sendiri buat kali pertama musim ini.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, dia gembira dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya ketika membelasah West Ham.
"Kami berani dalam kedudukan kami, permainan bola kedua kami luar biasa.
"Ia adalah persembahan yang sangat bagus dari awal hingga akhir perlawanan.
"Ia benar-benar sukar untuk kami semua, terdapat banyak perlawanan dan pemain sudah bermain dengan baik hari ini," katanya.
Separuh akhir pertama akan dilangsungkan pada 9 Januari manakala separuh akhir kedua pada 23 Januari dan final akan dilangsungkan di Stadium Wembley pada 25 Februari depan.
Liverpool mencipta rekod apabila melangkah ke separuh akhir buat kali ke-19 manakala sembilan kejuaraan Piala Liga milik mereka juga satu rekod.