UMNO sangkal dakwaan sebagai 'alas kaki' DAP

Iklan
Mohd Puad Zarkashi

SHAH ALAM - UMNO menyangkal dakwaan mengenai parti itu yang dikatakan sebagai ‘alas kaki’ kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) malah menganggap ia hanya tuduhan untuk melemahkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tuduhan oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi itu juga percubaan untuk memecah belahkan hubungan antara kedua-dua parti UMNO-DAP.

Iklan
Iklan

"Sebarang kenyataan dikemukakan oleh pemimpin atau ahli DAP yang kontroversi akan dieksploitasi oleh Pas.

"Ia ada kalanya bersifat peribadi dan hanya cadangan. Belum pasti dilaksanakan kerana perlu dipersetujui oleh Kabinet. UMNO tidak akan setuju jika tidak sesuai dengan dasar parti.

Iklan

"Ada hikmah UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan kerana menjadi benteng menjaga kepentingan orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu serta tidak menjadikan agama sebagai kuda tunggangan macam Pas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Pas mendakwa DAP semakin ‘naik tocang’ dengan kenyataan dan tindakan yang terus membakar amarah rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu.

Iklan

Ia bermula dengan kenyataan pimpinan DAP iaitu Lim Guan Eng dan M Kulasegaran yang menyentuh berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Tambah Mohd Puad, UMNO bukan seperti Pas yang memuji DAP melangit ketika bekerjasama sebelum ini.

"Lim Guan Eng disamakan seperti Khalifah Umar Abd Aziz. Afnan Hamimi juga kata DAP naik tocang. Sebenarnya Pas yang naik tocang bila menang banyak kerusi berbanding UMNO dan Bersatu.

"Pas semakin ganas, keluar fatwa politik yang memecahkan belahkan orang Melayu. Ajaran Islam wajibkan bayar hutang tetapi mereka sendiri liat bayar hutang Harakah dan jadikan Islam ‘alas kaki’ kerana ‘naik tocang’,” ujar Mohd Puad.