KUALA LIPIS - Kegiatan sekumpulan warga asing memburu binatang liar dilindungi dipercayai untuk dijadikan juadah makanan selain menyimpan anggota badan haiwan terbabit terbongkar menerusi serbuan di rumah pekerja di kebun durian di sini, Sabtu lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan kira-kira jam 4.30 petang dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang.
Menurutnya, lima lelaki warga Myanmar telah diberkas dengan rampasan bahagian hidupan liar disyaki bulu dari spesies burung merah mata, burung but-but kecil dan burung cenuk birah.
"Perhilitan turut merampas disyaki kaki burung kuang raya selain jerat tali dan wayar kabel," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan bernilai RM3,000.
Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis untuk tindakan lanjut bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
"Suspek disyaki telah memburu hidupan liar dan makan hidupan itu, manakala hasil seperti kaki, kuku dan bulu untuk disimpan," katanya.
Tegas Abdul Kadir, masyarakat diminta melporkan sebarang jenayah hidupan liar ke Talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1-800-88-5151 atau e-Aduan di laman web rasmi Jabatan Perhilitan www.wildlife.gov.my.
"Bersama kita melindungi hidupan liar demi kepentingan generasi akan datang," ujarnya.