KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membawa elemen penjualan barangan pasar seperti barang basah dalam Program Jualan Rahmah (PJR) bermula tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, elemen itu dibawa susulan daripada hasil kajian impak pelaksanaan PJR dan terdapat beberapa cadangan dikemukakan bagi menambah baik program ini.
Menurutnya, hampir 80 peratus respons amat positif mengalu-alukan PJR diteruskan manakala 20 peratus lagi mengalu-alukan namun ada cadangan tertentu supaya PJR ditambah baik termasuk dari aspek komunikasi.
"Ada juga yang bercakap dalam PJR ini tidak ada bekalan barang-barang basah, jadi kita juga telah memutuskan bermula tahun depan Januari, kita akan bincang untuk membawa elemen barang-barang di pasar dalam jualan Rahmah kita.
"Sekarang ini ada ayam, tetapi barang lain seperti ikan tiada. Jadi kita runding untuk bawa peniaga pasar untuk kita libatkan mereka memasarkan produk dalam PJR," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan PJR di Kapayan di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, PJR bukan hanya bekerjasama dengan pasar raya tetapi juga dengan peniaga pasar yang boleh menawarkan harga yang murah kepada rakyat dalam program ini.
"Kita akan rintis membawa elemen pasar Rahmah dalam PJR, peniaga-peniaga kita di pasar pun kita bawa produk mereka dalam PJR secara bergilir.
"Asasnya mudah, PJR ini syaratnya barang-barang mesti ada diskaun antara 10 hingga 30 peratus, jadi boleh bawa sesiapa saja yang boleh memberi diskaun tersebut," katanya.