JURULATIH pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido mahu pemainnya mencontohi senior mereka pasukan Harimau Malaya yang berjaya mengikat China 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, China pada September lepas.
Kejayaan menyaingi pasukan pada kedudukan ke-80 dunia itu membolehkan skuad kendalian Kim Pan Gon mendaki tangga ranking daripada 136 ke kedudukan 134.
Bagaimanapun Garrido lebih selesa skuad bimbingannya menjadi pasukan 'underdog' atau bukan pilihan dalam perlawanan persahabatan menentang China dijadualkan pada 23 dan 26 Dis ini.
"Pasukan senior kami adalah contoh yang baik yang boleh kami ikuti, tetapi kami juga perlu bersiap sedia mengikut laluan kami, cara kami," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Shanghai, China hari ini.
Skuad muda negara bakal berdepan dua aksi persahabatan Tier 2 sebagai persediaan ke Piala Asia B-23 di Doha, Qatar tahun depan.
Harimau Muda diundi dalam Kumpulan D Piala Asia dan akan membuka saingan bertemu Uzbekistan pada 17 April, Vietnam (20 April) sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Kuwait (23 April).
Dalam pada itu, Garrido berkata pengalaman menentang pasukan Tembok Besar itu akan menjadi bekalan penting kepada Harimau Muda yang tidak banyak peluang beraksi bagi mengasah taktikal mereka tahun ini.
"China ialah pasukan hebat yang boleh membantu kami mengetahui tahap kami. Kami tidak mempunyai skuad yang lengkap, China juga mungkin tidak menurunkan skuad penuh mereka tetapi ia masih satu ujian yang baik untuk kami, di mana kami boleh mula menyiapkan diri untuk pertandingan itu (Piala Asia)," katanya.
Selain itu, Garrido berkata beliau masih menagih khidmat pemain Terengganu Ubaidullah Shamsul Fazili yang kini berehat selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) semasa final Piala Malaysia 2023, 8 Dis lepas.
Beliau berkata pemain berusia 20 tahun itu merupakan komponen penting untuk melengkapkan skuadnya selain telah menampilkan aksi cemerlang sepanjang musim ini. - Bernama