IPOH - Kerajaan Perak menyasarkan seramai 2,000 usahawan di negeri ini untuk berada di dalam platform e-Dagang S.M.A.R.T. Niaga@Perak tahun hadapan.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, ketika ini seramai 100 usahawan sudah pun mendaftar di dalam platform berkenaan biarpun tidak sampai sebulan dilancarkan.
Menurutnya, pada peringkat awal hanya 200 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diberikan keistimewaan untuk menyertai projek rintis berkenaan.
"Untuk program rintis ini, ada 100 lagi kekosongan yang perlu direbut usahawan di negeri ini kerana pendaftarannya percuma," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-10, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua DPPM Perak, Amirudin Tajuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.
Mohd Azlan berkata, pihaknya juga sedang mempergiatkan usaha menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai S.M.A.R.T. Niaga@Perak itu.
Beliau turut mengharapkan kerjasama daripada DPPM Perak untuk menggalakkan ahli mereka berdaftar dengan platform berkenaan.
Menurutnya, difahamkan sehingga kini lebih 600 individu dan syarikat menjadi ahli bernaung di bawah DPPM Perak.
Pada 17 November lalu, Digital Perak memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Nityo Infotech Services Sdn Bhd (Nityo) sebagai usaha mentransformasi bazar dalam talian kepada platform e-dagang Shopmatic menerusi aplikasi S.M.A.R.T. Niaga@Perak.