MENJELANG akhir tahun pada bulan Disember pasti ramai yang sibuk memasang azam dalam kotak fikiran, menyenaraikan azam sepanjang tahun baru dalam diari peribadi, ada juga khusyuk memperbaharui azam dan sesetengahnya masih tega dengan azam yang tidak pernah berjaya direalisasikan.
Setakat analisis ini ditulis, terdapat hampir setengah juta carian di Google dalam masa 0.36 saat dengan menggunakan frasa ‘azam tahun baru 2020’.
Pendek kata mencoret azam baharu di tahun baru adalah perkara normal dan menjadi kelaziman kepada mereka yang mahukan pembaharuan dalam kehidupan.
Bermacam-macam azam yang biasa kita dengar saban tahun seperti ada yang mahu menurunkan berat badan, mahu menabung untuk membeli rumah idaman, mahu membeli kereta mewah, mahu menjadi pekerja cemerlang dan berdedikasi dan ada juga yang mahu menjadi anak kebanggaan ibu bapanya.
Apa sahaja yang terlintas di benak fikiran akan disenaraikan sebagai azam tapi tanpa dikira adakah ia mampu direalisasikan.
Itu antara sebahagian azam sebagai manusia, bagaimana pula dengan azam untuk menjadi seorang Muslim sejati?
Rata-rata kita menyenaraikan mahu menjadi seorang Muslim yang menjaga solatnya, mahu bersolat di awal waktu, berjemaah di surau dan masjid bagi lelaki, meninggalkan perkara maksiat, menjadi Muslim berakhlak dan berusaha untuk mengurangkan aktiviti ‘membawang’ atau bercakap kosong.
Penulis tertarik dengan perkongsian daripada pendakwah yang juga perunding motivasi keluarga, Ustaz Bakhtiar Fitri Abd Hamid ketika mengulas mengenai azam tahun baru 2020 dalam sebuah akhbar arus perdana.
Digapai
Ulasan beliau berkaitan isu menetapkan satu-satu azam secara jelas dan bukannya terawang-awangan sehingga sukar untuk dilaksanakan membuatkan penulis bersetuju dan berfikir.
Benar! Azam itu matlamat dan semestinya ia perlu jelas untuk digapai.
Kata beliau:"Apabila ingin menetapkan sesuatu matlamat jangan sesekali memilih atau menghimpunkan azam terlalu banyak sehingga kita tidak mampu untuk melaksanakannya. Mungkin dengan menetapkan beberapa azam saja ia boleh dicapai dengan strategi berkesan.
"Malah, dalam beberapa azam yang ditetapkan itu, walaupun tidak mampu untuk mencapai semuanya, tapi janganlah sampai meninggalkan semua sebaliknya perlu yakin mesti ada yang boleh dicapai,” katanya.
Bersempena dengan kedatangan tahun baru 2020, penulis tertanya-tanya apakah perkara yang dianjurkan untuk dilakukan sebagai seorang Muslim.
Dalam perkongsiannya, Bakhtiar Fitri mengatakan:"Kita dianjurkan untuk memulakan tahun baru dengan berazam untuk solat di awal waktu, memperbanyakkan baca al-Quran, solat duha dan berjemaah di surau atau masjid.
"Selain itu, kita perlu berusaha untuk memperelok akhlak dan banyak mengingati ALLAH,” katanya.
Sebagai manusia, kita pastinya sering tengadah dan terjatuh dalam merealisasikan azam yang mahu dicapai. Kerana itu kita bergantung kepada ALLAH.
Tanpa sokongan yang jitu pastinya kita akan jatuh dan azam itu hanya tinggal azam sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Kita harus membulatkan tekad kerana itu kita perlu melakukannya secara beristiqamah dan jangan sambil lewa kerana kita bukannya menongkat langit.
Berdasarkan pengalaman diri sendiri, sepanjang hidup di muka bumi ini hanya satu dua sahaja azam penulis berjaya direalisasikan setakat ini.
Ada beberapa lagi azam yang sejak bertahun lamanya belum berjaya ditunaikan.
Bertitik tolak daripada itu, penulis perlu mencari pendorong yang mampu untuk mendorong penulis mencapai segala azam yang belum berjaya ditunaikan itu.
Kadangkala kita berasa seperti berbohong kepada diri sendiri kerana tidak berjaya menunaikan janji yang dibuat. Bukankah mencoret azam itu seperti kita berjanji kepada diri sendiri?
Jika tidak mahu bergelar penipu kepada diri sendiri maka cubalah untuk menunaikan azam yang sudah dilafazkan.
* Syahidatul Akmal Dunya ialah wartawan Sinar Harian edisi Nasional