BALIK PULAU - Seorang wanita berusia 36 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan pelaburan Crypto yang tidak wujud melibatkan kerugian RM459,972.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita itu ditahan di Sungai Petani, Kedah oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya pada Rabu.
Menurutnya, wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan kes bersangkut di Bayan Lepas.
"Suspek telah menjadi keldai akaun kepada satu sindiket penipuan pelaburan yang menipu mangsa sehingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
"Mangsa didapati membuat beberapa transaksi secara berperingkat ke dalam beberapa akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM459,972," katanya dalam satu kenyataan di dalam Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada Khamis.
Tambah beliau, wanita tersebut direman untuk siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan kerana turut disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan peluang perkerjaan sambilan melalui dalam talian yang tidak wujud.
Kamarul Rizal berkata, lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes melibatkan kerugian berjumlah RM28,800.
"Suspek ditahan di Kangar, Perlis pada Rabu kerana dipercayai terlibat dengan satu kes penipuan di Bayan Lepas.
"Mangsa telah terpedaya lalu membuat beberapa transaksi ke akaun berbeza untuk mendapatkan komisen," katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.