PETALING JAYA - Seorang cucu penyanyi wanita terkenal era 70-an yang berusia 17 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu perempuannya, tiga bulan lalu.
Remaja lelaki itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.
Iklan
Iklan
Mengikut pertuduhan, cucu selebriti berpangkat Datuk ini, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berumur 17 tahun satu bulan bagi tujuan seksual di sebuah kediaman di Jalan Gasing, Seksyen 5 di sini, pada jam 3 pagi, 15 Oktober lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding yang dijalankan secara tertutup, kerana melibatkan pesalah kanak-kanak bawah umur, majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari tahun depan untuk sebutan kes.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun manakala remaja itu diwakili peguam, Datuk Suraj Singh.