KUALA LUMPUR - Seramai 1,000 anggota dan pegawai polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur 'mini Dhaka' di Jalan Silang di sini, pada Khamis.
PGA telah mengepung kawasan tersebut bermula pada jam 11 pagi untuk menyerbu warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ dengan lagak seperti warga tempatan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pasukan keselamatan lengkap bersenjata dan peralatan khas dilihat mula memecah masuk ke setiap premis membabitkan empat blok di jalan terbabit.
Difahamkan serbuan dijalankan bagi menangani kebanjiran warga asing dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing di kawasan itu.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati sekurang-kurangnya 500 warga asing ditahan setakat jam 1 tengah hari.
Warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.
Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.
Turut ditemui pelbagai jenis ubatan disyaki dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, premis terbabit tidak berpenghuni ketika pemeriksaan dijalankan.
Selain itu, serbuan turut dijalankan di sebuah premis yang dijadikan sebagai bilik sewa dipercayai dihuni warga asing dilihat berada dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik.
Semua warga asing yang ditahan itu dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses semakan dokumentasi.