Tiada subsidi untuk harga gula, kerajaan hanya kawal harga - Armizan

Iklan
Armizan ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Jualan Rahmah di Kapayan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Tiada sebarang subsidi diberikan terhadap harga gula sebaliknya kerajaan hanya mengawal harga gula putih bertapis pada harga RM2.85 bagi mengelak bahan tersebut mahal dan harganya menjadi tidak terkawal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berlaku salah faham mengenai harga gula bahawa RM2.85 sebagai harga yang telah disubsidikan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Ada yang menyebut RM2.85 itu adalah gula subsidi, gula kerajaan, gula rakyat dan ini pemahaman orang.

"Sebenarnya bekalan gula RM2.85 itu tidak melibatkan subsidi secara terus daripada kerajaan, tidak ada. Itu bukanlah gula subsidi, tiada subsidi langsung daripada kerajaan untuk membolehkan gula itu dibekalkan pada harga RM2.85.

Iklan

"Ini kita kena fahamkan rakyat, jadi isu kerajaan tarik subsidi, kerajaan catu tidak betul kerana memang dari awal lagi harga ialah RM2.85, tidak ada subsidi daripada kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Rahmah di Kapayan, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu kekurangan bekalan gula yang berlaku di pasaran ketika ini.

Iklan

Tambah beliau lagi, sejak tahun 2021, kenaikan harga gula mentah di pasaran global telah melebihi 150 peratus.

Menurutnya, hanya dua pengilang utama yang membekalkan gula dengan harga kawalan RM2.85 tetapi kini pengilang mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu kerana kos telah meningkat.

"Jadi sejak memangku tugas Menteri KPDN pada Julai 2023, KPDN telah mengambil pendekatan untuk melonggarkan syarat sistem permit import (AP) dengan membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mengimport gula dan sejak itu, sebanyak 43 syarikat telah diberikan permit kelulusan kuota import dengan jumlah 557,080 metrik tan. Tujuannya untuk membolehkan mana-mana pihak mencari sumber bekalan gula mentah pada kadar yang rendah," katanya.

Bagaimanapun, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, sehingga 12 Disember lalu, sumber bekalan gula yang berjaya dibawa masuk hanya pada kadar lima peratus dan untuk kegunaan sendiri.

"Ini bermaksud tidak ada pihak yang berupaya untuk mencari sumber bekalan gula mentah untuk diproses dan kemudiannya dijual pada harga kawalan RM2.85.

"KPDN masih membuka ruang kelonggaran permit import tersebut secara bersyarat. Sekiranya ada mana-mana pihak boleh membawa masuk dan menjual gula bertapis pada harga RM2.85, sila mohon dan kita akan beri kelulusan segera.

"Kita telah memberi kelonggaran ini sejak bulan Julai lalu. Pada 1 Januari 2024, kita akan membuat penilaian dan perlu bertindak untuk membuat keputusan segera untuk menggelakkan gangguan bekalan yang lebih besar," katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, kerajaan ketika ini sedang meneliti untuk penyelesaian jangka panjang berhubung isu bekalan gula di pasaran tempatan.

"Tidak dinafikan bahawa gangguan bekalan gula putih bertapis pada harga RM2.85 yang berlaku kini adalah disebabkan oleh faktor kenaikan tinggi harga gula mentah di pasaran dunia kini.

"Di samping menyelesaikan isu-isu berbangkit di sesetengah tempat, penyelesaian jangka panjang diperlukan.

"Solusi jangka panjang kita akan berpandukan kepada dua keutamaan iaitu faktor harga yang munasabah dan bekalan gula yang stabil di pasaran," katanya.