Pemuda dipenjara 30 tahun, 12 sebatan edar dan miliki dadah

Iklan
Laporan Sinar Harian

SEREMBAN - Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah tiga tahun lalu.

Hakim Rohani Ismail membuat keputusan itu terhadap tertuduh Ilham Utama Sawai Suardi, 29, selepas mempertimbangkan rayuan mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan dan hujahan pemberat dikemukakan pihak pendakwaan.

Iklan
Iklan

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 373.80 gram dan Kanabis seberat 560.34 gram.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2).

Iklan

Kesalahan itu dilakukan pada 12 April 2020 jam lebih kurang 3.30 petang di tempat letak kereta sebuah hotel di Seremban dan jam 4.15 petang di Jalan Muafakat, Taman Temiang Jaya di Seremban.

Selain itu tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis Kanabis seberat 10.58 gram di Jalan Penghulu Cantik di Seremban pada tarikh sama.

Iklan

Sebelum itu, Peguam Datuk Hanif Hassan dalam rayuan mitigasinya memberitahu mahkamah, tertuduh telah ditangkap dalam satu serbuan dilakukan di kawasan pakir tempat kerjanya dan bukannya ditangkap semasa melakukan transaksi jual beli dadah atau sedang memproses dadah.

"Ini menunjukkan tidak berlaku aktiviti pengedaran dadah. Jenis dadah terlibat juga ialah Kanabis yang merupakan dadah kurang kesan bahaya berbanding Heroin dan Morfin,"katanya.

Tambahnya, tertuduh juga datang dari persekitaran keluarga yang baik yang mana bapanya seorang aktivis manakala tiga adik beradiknya bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan.

Ujarnya, kes berkenaan merupakan sabitan pertama tertuduh di mahkamah dan dia juga tidak pernah ada kesalahan berkaitan dadah, sekali gus menunjukkannya seorang yang mempunyai perlakuan baik.

Timbalan Pendakwa Raya, Ala'udin Baharom dalam hujahannya pula berkata, faktor kepentingan awam perlu diambil kira melebihi tertuduh sendiri dalam mahkamah menjatuhkan hukuman.

"Dadah juga diisytihar sebagai musuh nombor satu dan satu faktor yang boleh menaikkan jenayah lain.

"Kanabis ialah Kanabis dan dadah tetap dadah yang kesannya masih ada. Disebabkan itu kerajaan jadikan ia bahan dilarang untuk dimiliki dan digunakan,"katanya.

Ujarnya, hukuman mati adalah lebih layak dan sesuai untuk tertuduh dalam kes ini.