Projek MRT3: Pengambilalihan tanah bermula tahun depan

Iklan
Anthony Loke

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengambilalihan tanah bagi projek Transit Aliran Massa Laluan Lingkaran (MRT3) akan dilakukan MRT Corporation secara berperingkat bermula tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengambilalihan yang membabitkan 1,012 lot tanah itu dijangka mengambil masa dua tahun untuk dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

"Jumlah lot itu meliputi meliputi 842 lot tanah persendirian, 133 lot tanah kerajaan dan 37 lot tanah tidak diketahui," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian Perjanjian Pajakan di antara MRT Corporation dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Iklan

Menurutnya, peruntukan bagi memulakan proses pengambilan tanah jajaran bagi projek MRT3 telah disalurkan kepada kementerian.

"Pendekatan kami terhadap proses pengambilan tanah akan menggabungkan langkah-langkah yang berhemah dan penuh ihsan untuk memastikan kesan sosial yang minimum kepada masyarakat,” katanya.

Iklan

Ujar Anthony, kementerian sedia bekerjasama dengan pemilik tanah untuk memastikan kos kepada kerajaan dapat diminimumkan dan nilai komersial tanah dimaksimumkan.

"Seperti yang kita katakan, kita ada mekanisme untuk minimumkan kos kepada kerajaan, kita juga terbuka untuk berbincang dengan pemilik tanah.

"Ada pemilik tanah yang ‘approch’, kalau kerajaan tak ambil alih tanah, boleh ke kita ada usahasama?

"Itu (antara) mekanisme yang kita sedang lihat untuk lebih kreatif supaya kos kepada kerajaan dapat dikurangkan dan pada masa sama nilai komersial sesuatu tanah itu dapat dimaksimumkan. Mungkin kita boleh ada situasi menang menang dengan pemilik tanah,” katanya.

Ditanya kos keseluruhan membabitkan projek mega berkenaan, Anthony enggan memberikan butiran lanjut memandangkan ia masih belum dimuktamadkan.

"Belum lagi, akan dimuktamadkan dan Kementerian Kewangan belum buat keputusan, masih melihat kepada jumlah kos,” katanya.

MRT3 Laluan Lingkaran ialah laluan terakhir yang kritikal bagi melengkapkan rangkaian rel bandaraya Kuala Lumpur sepanjang 50.8 kilometer.

Ia akan disambungkan ke laluan MRT, LRT, KTM dan monorel yang sedia ada melalui 10 stesen pertukaran.