RANTAU PANJANG - Situasi banjir termenung yang melanda beberapa buah kampung dekat sini lebih seminggu lalu menyebabkan pintu dan tingkap rumah mereka 'membengkak' sekali gus sukar untuk ditutup serta dikunci.
Masalah ini menyebabkan penduduk yang masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa berulang alik tiga kali sehari menaiki perahu untuk memeriksa keadaan rumah mereka.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh penduduk dari Kampung Kusar, Mohd Ahdi Ahlam Ibrahim, 25, apabila dia terpaksa berbuat demikian bagi memastikan rumah tidak dipecah masuk pencuri.
"Ini banjir kali ke tiga kami lalui tahun ini. Pertama kali pada Februari lalu dan pada bulan ini sudah dua gelombang.
"Lebih memburukkan lagi keadaan apabila kami terpaksa berhadapan dengan banjir termenung yang lama sehingga menyebabkan pintu, tingkap rumah membengkak kerana terlalu lama ditenggelami air sedalam empat hingga enam meter," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Misi Monsun Timur Laut (MTL) Kelantan 2023 pada Khamis.
Misi tersebut merupakan anjuran Pertubuhan Kebajikan Sanggar Suri Malaysia dengan kerjasama Yayasan AEON Malaysia, Yayasan Foodbank Malaysia serta Agkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Rantau Panjang.
Menurutnya, dia yang tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok melihat kepada keadaan sekarang mungkin akan mengambil masa seminggu lagi air akan surut.
Bagi penduduk Kampung Bakat, Che Mohd Rozi Che Abu Bakar, 48, berkata, banjir termenung yang berlaku menyebabkan dia dan lima lagi ahli keluarga terpaksa tinggal di PPS selama seminggu.
Ujarnya, semasa gelombang pertama dia sekeluarga sudah seminggu menetap di PPS SK Gual Periok, kali ini hampir juga seminggu selepas Khamis lalu berpindah.
"Saya pulang ke rumah dua hingga empat kali sehari untuk memeriksa keadaan kediaman.
"Bimbang juga jika rumah dibiarkan tanpa penghuni dalam tempoh masa yang terlalu lama," katanya.
Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sanggar Suri Malaysia, Norlaili Talib berkata, ini merupakan misi fasa kedua pihaknya membantu mangsa banjir.
Menurut beliau, sebanyak 300 pek makanan diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan kampung sekitar Rantau Panjang.
"Alhamdulillah, program hari ini mendapat kerjasama daripada Yayasan AEON Malaysia dan Yayasan Foodbank Malaysia.
"Selain itu, kita turut mendapat bantuan dari pihak APM Rantau Panjang," katanya.
Beliau mengharapkan sumbangan itu dapat membantu meringankan beban mangsa banjir.