RANTAU PANJANG - Penduduk terkesan dengan banjir termenung di sini berdepan kesukaran apabila mengakui mereka terpaksa berulang-alik ke masjid dan stesen minyak berhampiran untuk membuang air besar.
Situasi tersebut disebabkan keadaan tandas rumah mereka tidak dapat digunakan kerana masih digenangi air banjir walaupun cuaca baik di sini.
Penduduk dari Kampung Bakat, Mohd Zulhisham Ibrahim, 48, berkata, selagi air belum surut sepenuhnya, dia dah ahli keluarga terpaksa berulang-alik sejauh 2 kilometer untuk tujuan tersebut.
"Kami sudah pulang ke rumah selepas hampir seminggu tinggal di PPS (pusat pemindahan sementara) tetapi disebabkan banjir termenung, tandas masih belum dapat digunakan.
"Nasib baik ada masjid dan stesen minyak berhampiran.
"Walaupun sedikit terseksa, namun apakan daya hanya ini sahaja pilihan yang ada," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Mohd Zulhisham mengakui, sudah dua tahun terpaksa berdepan dengan situasi tersebut sejak Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dilaksanakan sehingga menyebabkan berlakunya banjir termenung.
Ujarnya, sebelum ini, banjir merupakan perkara biasa di kawasan tersebut, namun lazimnya akan surut dalam masa dua atau tiga hari sahaja.
Bagaimanapun, Mohd Zulhisham berkata, keadaan berubah kebelakangan ini apabila ia mengambil masa lebih seminggu untuk surut sepenuhnya.
Abdul Jalil Abdul Rahman, 53, memberitahu berdepan situasi sama apabila banjir termenung yang melanda menyebabkannya terpaksa ke surau, masjid dan stesen minyak untuk mendapatkan air bersih bagi tujuan membuang air besar.
"Di luar kawasan kediaman masih dipenuhi air, kebetulan pula tandas rendah.
"Pilihan yang kami adalah surau, masjid atau stesen minyak berhampiran kerana di sana juga ada air bersih.
"Jauh sekalipun itu sahaja pilihan yang ada," katanya.
Roslina Che Abu Bakar, 46, pula berkata, walaupun sudah boleh pulang ke rumah, tetapi melihat keadaan air yang masih belum surut serta cuaca tidak menentu menyebabkan dia masih diselubungi kebimbangan.
Ujarnya, jika hujan berterusan, berkemungkinan besar mereka perlu kembali ke PPS semula.
"Setakat ini barangan yang disimpan di atas para tinggi masih dikekalkan.
"Kami hanya bersihkan lantai sahaja.
"Selagi belum habis musim tengkujuh, sehingga itulah kami berada dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.