'Saya kendalikan sendiri media sosial' - Dr Noor Hisham

Iklan
Dr Noor Hisham ketika Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19 di UiTM Shah Alam pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan bahawa beliau mengendalikan sendiri media sosialnya.

Menurut bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu, pendekatan berkenaan dilakukannya bagi mengelak sebarang hantaran data dan maklumat yang dimuat naik tidak tepat.

Iklan
Iklan

"Saya yang urus sosial media saya daripada dahulu sehingga sekarang, tetapi saya ada pasukan sendiri iaitu dua tiga orang membantu untuk mendapatkan maklumat.

"Saya akan baca dahulu maklumat itu sebelum dimuat naik ke media sosial," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Siri Cakna Polisi Kronologi Satu Tahun Pertama Covid-19 anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di UiTM Shah Alam, di sini pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, beliau menggunakan medium media sosial sejak 2013 sebagai satu kaedah berkomunikasi dengan rakyat.

Iklan

"Kenapa saya guna media sosial kerana ia peranti yang amat penting dalam berkomunikasi, mungkin sebelum era ledakan media sosial (mereka beranggapan) ketua pengarah kesihatan dia hanya 'santai' duduk di bilik besar.

"Jadi dengan adanya media sosial kita dapat libat urus dengan rakyat, untuk menerangkan isu-isu dan cabaran yang ada dan juga mengurus harapan rakyat terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), itu sebabnya kita gunakan media sosial," katanya.

Noor Hisham dianggap 'wajah yang memberi keyakinan' oleh rakyat negara ini kerana usahanya memberikan maklumat terkini mengenai Covid-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Dalam pada itu ketika mendedahkan perihal cabaran semasa mengendalikan sidang akhbar pada setiap petang semasa ledakan Covid-19, Noor Hisham berkata, beliau 'berperang dengan masa'.

"Data (Covid-19) yang saya dapat setiap hari hanya 15 minit sebelum sidang media bermula, bukan kata saya dapat dua tiga jam awal.

"Apabila mengendalikan sidang media itu, saya melihat kepada situasi seperti saya menerangkan kepada seorang pesakit, terangkan dalam bahasa yang mudah yang (rakyat) boleh faham," katanya.

Semasa menjawat Ketua Pengarah Kesihatan sidang media Noor Hisham senantiasa dinanti rakyat, beliau akan mengadakan sidang media harian berhubung perkembangan Covid-19.

Noor Hisham telah mengadakan taklimat Covid-19 melalui siaran langsung pada setiap hari dari 27 Februari 2020.

Sepanjang tempoh itu, sidang media itu pernah 'cuti rehat' sebanyak dua kali sahaja, pada sembilan Mei dan hari pertama Hari Raya Aidilfitri.