KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan amang seksual dengan mencabul anak angkatnya pada 10 Disember lalu.
Tertuduh yang berusia 49 tahun dari Tawang, Bachok itu didakwa di hadapan hakim, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut kedua-dua pertuduhan tersebut, lelaki berkenaan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja warga Thailand yang berusia 15 tahun empat bulan dengan mencabul gadis itu dalam bilik di sebuah rumah di Tawang, Bachok pada jam 7.30 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Bagi Seksyen 14 Akta 792, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16 adalah tambahan kepada hukuman penjara maksimum lima tahun dan hendaklah dihukum sebat minimum dua sebatan kerana hubungan amanah antara tertuduh dengan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd Bakri manakala tertuduh yang sudah mempunyai isteri itu diwakili peguam, Mohd Zubairi Salleh.
Pada prosiding itu, tertuduh melalui peguamnya merayu untuk dibenarkan jaminan dengan alasan dia mengalami gastrik yang teruk dan menjadi penanggung tunggal keluarganya.
Nur Akmal bagaimanapun membantah permohonan itu berikutan tertuduh mempunyai hubungan keluarga angkat dan tinggal serumah dengan mangsa.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tidak boleh mengganggu saksi-saksi dan mangsa kes berkenaan selain perlu melapor diri di balai polis setiap 1 hari bulan.
Tertuduh menjelaskan bayaran jaminan itu.