JKNK rampas ubat, kosmetik tidak berdaftar lebih RM890,000

Iklan
JKNK melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi merampas pelbagai ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM890,372.

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi merampas pelbagai ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang membahayakan nyawa pengguna bernilai RM890,372.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kejayaan itu hasil 62 serbuan yang dilakukan bermula dari Januari hingga Oktober lalu termasuk serahan barangan rampasan oleh Pasukan Gerakan Am dan Polis.

Iklan
Iklan

"Nilai anggaran rampasan adalah RM277,729 termasuk RM29,795 daripada 60 produk kosmetik tidak bernotifikasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, sehingga Oktober lalu sebanyak 29 serahan bernilai RM612,643 telah diserahkan oleh pihak berkenaan.

Iklan

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, 264 perkara merupakan serahan kosmetik tidak bernotifikasi.

"Produk-produk tidak berdaftar yang dirampas ini dipasarkan secara meluas atas talian dengan pelbagai janji seperti menurunkan berat badan cepat tanpa senaman atau diet.

Iklan

"Produk seperti ini berkemungkinan dicampur dengan ubat terkawal termasuk sibutramine, sejenis racun berjadual di bawah Akta Racun 1952 yang mungkin menyebabkan sakit jantung, strok dan kematian," katanya.

Menurut beliau, bagi kosmetik tidak bernotifikasi pula, penjual menjanjikan kesan-kesan seperti pencerahan kulit dan rawatan jeragat.

Dr Zaini memberitahu, produk kosmetik ini juga berkemungkinan dicampur dengan racun berjadual seperti merkuri dan hydroquinone yang boleh merosakkan buah pinggang dan sistem saraf serta meningkatkan risiko kanser kulit.

Katanya, penjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi diberi amaran supaya menghentikan penjualan serta pengedaran produk tersebut dengan serta-merta.

"Mereka yang disabitkan kesalahan bawah Akta Jualan Dadah 1952 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis dan untuk memastikan produk atau kosmetik yang ingin dibeli adalah berdaftar melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran dan notifikasi produk sama ada dengan melayari https://www.npra.gov.my, menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-7883 5400," katanya.