TERENGGANU FC (TFC) belum menerima sebarang maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan bantahan kelab itu terhadap mutu pengadilan pada aksi final Piala Malaysia, 8 Disember lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSC), Mohd Sabri Abas berkata, pihaknya telah menghantar surat bantahan kepada badan induk itu pada 11 Disember lepas, bagi meluahkan kekecewaan terhadap kelemahan prestasi pengadilan perlawanan akhir melibatkan TFC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Beliau berkata, walaupun bantahan berkenaan tidak dapat mengubah keputusan perlawanan, ia diharap dapat menambah baik dan meningkatkan mutu pengadilan bola sepak terutama pada perlawanan penting.
"Pihak TFC sudah menghantar surat bantahan ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadilan kepada FAM tiga hari selepas berlangsungnya Piala Malaysia.
"Setakat ini, kita tidak terima apa-apa maklum balas. Tetapi, dalam 'page' FAM sendiri ada menyebut tentang kelemahan mutu pengadilan perlawanan tersebut," katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) 202, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau amat kecewa kerana isu mutu pengadilan yang lemah masih menjadi barah dan menghantui industri bola sepak negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu berkata, sebelum ini pihaknya pernah menghantar cadangan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 2018 untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar negara pada perlawanan berprestij khususnya perlawanan akhir sesebuah kejohanan.
"Pada 2018, ketika layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak FC, kita pernah mengesyorkan kepada MFL supaya pemilihan pengadil dibuat dari pihak luar... bukan dari dalam negara.
"Tetapi, nampaknya perkara ini berulang. Kita harap masalah ini dapat diatasi untuk keadilan semua pasukan dan kemajuan bola sepak negara," katanya. - Bernama