ISLAMABAD - Polis di Islamabad menahan ratusan wanita dan kanak-kanak serta melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan protes yang diketuai seorang wanita di barat daya Pakistan.
Protes itu diadakan kerana membantah kehilangan dan pembunuhan anggota keluarga mereka, menurut pegawai dan aktivis pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik kenyataan ketua kumpulan protes itu, Mahrang Baloch.
Sementara itu, aktivis Pirdhan Baloch berkata, bantahan itu bermula pada 6 Disember berikutan dakwaan mengenai pembunuhan seorang pemuda di bandar Turbat di Balochistan yang dikatakan dibunuh oleh polis antikeganasan beberapa minggu sebelum itu.
Penunjuk perasaan berkumpul sejauh kira-kira 2,000 kilometer di semua bandar utama dan berarak dari Turbat ke Islamabad.
Beribu-ribu lelaki telah sama ada hilang atau mayat mereka ditemukan dalam keadaan cacat dibuang di pelbagai tempat di Balochistan sejak beberapa dekad oleh pemberontak pemisah.
Aktivis dan keluarga mangsa menyalahkan agensi pengintip dan tentera Pakistan atas pembunuhan dan kehilangan anggota keluarga mereka itu.
Dalam protes itu, sekurang-kurangnya 200 orang ditangkap, kata jurucakap polis Islamabad, Zia Bajwa pada Khamis.
Badan hak asasi global dan negara termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International mengecam penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan secara aman itu. - Bernama