PENUBUHAN Majlis Atlet oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berpotensi melonjak tahap kemajuan diri atlet para negara pada masa depan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Beliau berkata, pihaknya yang menyambut baik inisiatif MPM itu, mahu melihat penubuhan Majlis Atlet mampu menjadi wadah membincangkan masalah dihadapi komuniti sukan para baik di dalam mahupun luar gelanggang.
"Saya harap penubuhan Majlis Atlet membawa lebih banyak manfaat kepada atlet para kita antaranya memberi platform terbaik buat mereka bukan sahaja dari segi kebajikan malah aspek kemajuan diri masing-masing,” katanya kepada Bernama selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Social Entrepeneurship For Rural Youth (SERY) 2023 di sini, malam Khamis.
Semalam, MPM mengumumkan Majlis Atlet akan diketuai perenang para wanita Carmen Lim selain dianggotai jaguh olahraga para, Mohamad Ridzuan Puzi; perenang lelaki ,Jamery Siga dan Fraidden Dawan serta atlet boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim.
Misi majlis berkenaan ialah untuk menjadi suara bagi atlet para masa kini, masa depan dan yang telah bersara dalam lingkungan Pergerakan Paralimpik, selari hala tuju strategik MPM dan untuk menyokong atlet para Malaysia.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, program SERY merupakan komitmen kerajaan bagi menyemarakkan inisiatif Rakan Muda melalui gaya hidup Rakan Niaga dalam menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu daripada bidang keutamaan belia.
Beliau berkata, melalui program SERY, potensi belia juga dapat diperkukuh melalui latihan berstruktur serta komprehensif dengan elemen bimbingan dan pementoran.
"Hasilnya, idea-idea baharu perniagaan berjaya dibangunkan, masalah sosial dapat ditangani dan rangkaian kerjasama strategik dapat ditingkatkan sebagai pemangkin perubahan dan pembangunan dalam komuniti di luar bandar,” katanya.
Sementara itu, kumpulan SWD Mulch dianggotai empat anak muda dari Sabah yang menghasilkan inovasi baja bagi meningkatkan tahap kesuburan tanah digunakan petani sekitar Kota Kinabalu, dinobatkan pemenang edisi kedua SERY.
Ketua kumpulan yang juga pelajar tahun kedua jurusan teknologi dan industri kayu dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Maisarah Mizan, 21, berkata, mereka mendapat idea penghasilan baja tersebut bagi mengelakkan lambakan sisa kayu serta rumpai laut tidak terpakai di Sabah terbiar begitu sahaja.
"Jika dibiarkan maka sisa kayu serta rumpai laut akan rosak. Bagi mengelakkan ia rugi, kami hasilkan inovasi yang secara tidak langsung membantu para petani di Sabah,” katanya.
Selain hadiah plak kemenangan, kumpulan SWD Mulch turut membawa pulang wang tunai RM10,000. - Bernama