SEBUT saja Mat Zin Korea, rata-rata samseng sekitar tahun 60-an dan 70-an pasti gerun.
Kisah legenda ‘gedebe’ itu atau nama sebenarnya, Mohd Zain Zakaria yang berasal dari Kampung Padang Bemban, Banggu, nyata amat disegani kawan serta digeruni lawan.
Namun, yang menginsafkan ialah peralihan fasa kehidupan Mat Zin Korea daripada seorang gedebe digeruni kepada seorang pencinta agama sehingga meninggal dunia dalam madrasah yang dibina melalui hasil titik peluh sendiri.
Dua minggu cari rumah
Sinar Harian berusaha hampir dua minggu untuk mendapatkan laporan eksklusif kisah perjalanan hidup Mat Zin Korea yang bergelumang dosa sehingga meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.
‘Perburuan’ hasil bantuan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan, Azharuddin Mat itu menemukan wartawan dengan seorang daripada tiga isteri Mat Zin, Hasnah Ismail, 71, di rumahnya yang terletak berhadapan tali air di Kampung Padang Bemban Banggu, Binjai.
"Awak (ditujukan kepada wartawan) sahaja yang berani datang ke rumah ini.
"Orang lain tidak berani jejakkan kaki ke sini kerana masih teringat sifat gedebe Allahyarham (Mat Zin Korea),” demikian kata Hasnah membuka bicara semasa wartawan menyatakan hasrat untuk mendapatkan kisah tersebut daripadanya.
Berhenti sekolah di tingkatan dua
Menurut Hasnah, suaminya itu dilahirkan pada 15 Mac 1945 dan mendapat pendidikan awal di SK Mentuan sebelum menyambung persekolahannya ke peringkat menengah di Maktab Sultan Ismail (SIC) yang merupakan sekolah kluster kecemerlangan di Jalan Telipot.
"Mat Zin bagaimanapun hanya berhenti setakat tingkatan dua kerana mula terpengaruh dengan rakan sebaya dan terjebak dengan gejala samseng.
"Saban hari, Mat Zin mula menunjukkan ‘taringnya’ sehingga gedebenya itu bertaraf mafia antarabangsa. Namanya disebut-sebut bukan sahaja di negeri ini, malah digeruni di seluruh Pantai Timur dan Kuala Lumpur hingga ke Thailand serta Singapura," katanya.
Wanita itu dalam nada lemah-lembut dan lancar berkata, karakter gedebe Mat Zin ini ialah pantang berlaku pertelingkahan, Allahyarham akan segera turun bersama puluhan anak buahnya.
"Seperti biasa, mulalah akan berlaku pergaduhan ala-ala kongsi gelap, tidak sah jika tidak melibatkan insiden tetak menetak menggunakan senjata tajam seperti parang serta kapak.
"Membantu rakan lain untuk menang dalam pergaduhan menjadi perkara biasa baginya,” katanya.
Mat Zin ada pistol
Lebih ganas, apabila Mat Zin juga dikatakan turut memiliki senjata api dan melepaskan tembakan ke arah sesiapa sahaja yang berseteru dengannya.
Semasa rumah Mat Zin diserbu polis, ada ahli keluarga yang membantu menyorokkan pistolnya sebelum dia hidup dalam buangan berikutan langkah pencegahan khas.
Hasnah dengan mata agak berkaca berkata, namun sikap bengis suaminya itu tiba-tiba hilang dari dunia samseng ketika namanya sedang melonjak naik dan tersohor.
"Ketika dia menyepikan diri, ramai yang menyangkakan Mat Zin sudah mati dibunuh angkara dendam serta balasan daripada segala perbuatan gedebenya itu.
"Perubahannya itu bermula selepas saya meletakkan syarat jika ingin mengahwini saya pada tahun 1972, dia perlu tinggalkan semua perangai ‘gedebe’ itu.
"Tolong orang tu memanglah baik, tapi ini tidak berfaedah kalau tolong orang bergaduh, bantu orang selesaikan masalah dengan bergaduh, hendak beradu kekuatan dan kehebatan masing-masing, buat apa?” soal wanita beraut wajah cantik bermata bulat itu.
Bercerita lanjut, Hasnah yang merupakan perkahwinan kali kelima Mat Zin memberitahu, sebelum berkahwin, dia mengenali Mat Zin melalui seorang rakan.
"Ketika itu saya mengetahui dia adalah ‘ore bekeng’. Dia ikut saya sampai ke rumah dan meminta untuk menikahi saya. Mat Zin ketika itu berstatus duda anak lima yang sudah memperisterikan empat wanita sebelum itu. Sayangnya semua perkahwinannya itu tidak berkekalan.
"Selepas berkahwin, gelora gedebe dalam diri Mat Zin mula ditahan-tahan, mana tidaknya, tiap kali Mat Zin ingin keluar ‘berjuang’, saya mengulangi janji itu. Dua kali dia asah parang, nak keluar bertetak entah dengan siapa pun saya tidak tahu.
"Apabila saya ungkit janji itu, dia terdiam. Pernah dia berseloroh mengatakan bahawa dia sudah bertukar menjadi penakut sejak berkahwin dengan saya. Selepas tiga tahun berkahwin kami dikurniakan seorang anak lelaki diikuti seorang anak perempuan beberapa tahun kemudian,” katanya.
Selepas menikahi Hasnah, Mat Zin kemudian memadukan pula wanita itu dengan dua lagi wanita yang merupakan anak orang alim dari Thailand.
Fasa kehidupan Mat Zin mula berubah apabila dia secara diam-diam mula mendekatkan diri kepada ALLAH sehingga lebih banyak masa dihabiskan di masjid-masjid.
"Saya tidak rasa dia berubah sebab saya, sebaliknya ALLAH yang jentik hidayah di dalam hatinya. Anak-anak buahnya yang selama ini mengikutinya memeras ugut tauke-tauke besar untuk mendapatkan wang dan menunjukkan kuasa sudah tidak dapat menjejakinya.
"Dahulu, semua peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh membayar wang perlindungan kepada Mat Zin. Jika ingkar mereka tidak boleh berniaga dengan tenang kerana akan diganggu oleh Mat Zin dan konco-konconya,” katanya.
Sehinggalah suatu masa, ramai kawan-kawannya mula menyedari yang Mat Zin sudah menanggalkan taringnya apabila ada yang terserempak dengan Mat Zin di masjid-masjid sekitar kampung.
"Cahaya hidayah yang diterimanya semakin berkobar apabila Mat Zin sertai kumpulan tabligh dan pergi ke Makkah untuk menuntut ilmu agama. Selepas empat bulan di Mekah, Mat Zin kemudian berhijrah ke Iran, Madinah, India dan pelbagai negara lain.
"Ramai yang tidak percaya Mat Zin merantau ke banyak negara untuk mendalami ilmu agama sendiri kecuali saya yang percaya kerana pada setiap negara yang disinggah itu, Mat Zin hantarkan poskad negara yang dilawati kepada saya yang berada di Malaysia,” katanya.
Mat Zin mendapat gelaran Korea adalah untuk membezakannya daripada empat lagi individu yang mempunyai nama sama iaitu Mohd Zain Zakaria.
"Korea itu tiada kaitan dengan negara Korea sebaliknya gelaran Mat Zin Korea diletakkan untuk mudah cam dan dia yang paling gedebe pula.
"Cerita yang mengatakan dia pernah tinggal di Korea dan menjadi mafia di sana tidak betul. Setahu saya dia tidak pernah ke negara itu,” katanya.
Selepas kembali dari perantauan mencari diri, Mat Zin mula berimej bersih dengan bersemutar di kepala, berjubah serta berjanggut dengan dikenali sebagai Tok Ayah Mat Zin Korea.
"Dia berubah menjadi seorang Muslim yang bukan saja mendirikan solat malah menjada waktu solatnya sebaik mungkin. Sebaik azan dia akan mendirikan solat serta berjemaah di masjid. Sentiasa berpuasa sunat dan mengqada puasa yang ditinggalkan sebelum ini.
"Mat Zin Korea yang gedebe dan bengis sudah hilang, yang tinggal adalah Mat Zin yang berwajah redup, tenang dan sentiasa menangis di atas sejadah. Walaupun gedebe, dia tak pernah menjentik jauh sekali memukul isteri serta anak-anaknya. Jika marah sekalipun berkait melengahkan sembahyang, dia akan membebel panjang dan diam apabila puas marah,” katanya.
Setelah 40 tahun dalam usaha memantapkan dan menyebar agama, Mat Zin membina sebuah Madrasah Tahfiz di kampungnya kira-kira tiga tahun lalu hasil sumbangan derma orang ramai.
"Penghujung usianya banyak dihabiskan dengan beramal ilmu agama. Hingga saat-saat ajal, dia menyatakan hasrat mahu meninggal dunia di dalam madrasahnya.
"Anak-anak sepakat membawanya yang sedang uzur ke madrasah. Sampai di madrasah, Mat Zin memandang sekeliling dan kemudian menghembuskan nafas terakhir pada jam 8 malam, 17 Jun lalu,” katanya.
Allahyarham meninggalkan tiga isteri, 14 anak dan lebih 40 cucu yang hidup rukun sesama mereka serta berkongsi nilai-nilai kehidupan yang ditinggalkan oleh seorang gedebe bernama Mat Zin Korea.
"Ini asuhan Mat Zin, antara kami madu dan anak-anak tidak pernah bergaduh, buat apa nak berbalah kerana ini semua ketentuan Allah.
"Cuma hasrat Allahyarham untuk melihat syiar Islam berkembang di madrasah itu tidak kesampaian. Madrasah itu hanya tinggal madrasah sahaja kerana tidak sempat untuk memasukkan pelajar kerana dijemput Ilahi dalam keadaan husnul khatimah, InsyaALLAH,” katanya.