Dividen ASB buat bayar deposit rumah, tunai haji

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM - Rata-rata pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) konsisten menyimpan dalam akaun berkenaan sambil mengumpul dividen tahunan bagi tujuan membayar deposit rumah, membiayai pendidikan serta menunaikan haji atau umrah.

Kakitangan perbankan, Noraidah Lamri, 57, berkata, beliau membuka akaun ASB sejak tahun 1990-an dan turut menyimpan wang ke dalam akaun berasingan buat empat orang anaknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, duit simpanan itu boleh digunakan sebagai alternatif sekiranya telah bersara atau mahu bercuti di luar negara pada masa akan datang.

"Saya pernah tunaikan umrah pada 2019 dan bawa seluruh keluarga saya, jadi menyimpan dalam ASB sangat membantu,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pekerja hotel, Syaznur Hakim Janal, 25, memberitahu, arwah bapanya secara rutin menyimpan dalam akaun ASB sejak dia berumur 12 tahun untuk pembiayaan pendidikan dan simpanan jangka panjang.

Tambahnya, jumlah terkumpul sebanyak RM30,000 masih belum terusik sehingga kini kerana mahu digunakan untuk tujuan kecemasan, berkahwin atau membeli rumah pertama.

Iklan

"Arwah ayah memang tak izinkan saya untuk usik langsung wang simpanan ini sehingga saya mencecah umur 18 tahun dan selepas dia meninggal dunia dua tahun lalu, baru saya boleh gunakannya.

"Namun, tiada keperluan saya gunakan ia buat masa sekarang jadi saya cuma kumpul dividen setiap tahun saja,” ujarnya.

Dalam pada itu, jururawat, Juminah Tamin, 44, berkata, dia mula menyimpan sejak tahun 2005 dan jumlah simpanan sehingga kini sudah mencecah RM50,000.

"Kebiasaannya saya cuma masukkan (dalam ASB) sekitar RM300 sahaja tapi tak simpan setiap bulan. Hasil simpanan itu saya fikir mahu tunai umrah atau haji jika diberi peluang ke sana, insya-ALLAH.

"Sebagai pencarum, saya gembira dengan kenaikan dividen dan memberi sedikit kelegaan kepada kami semua sebab beberapa tahun kebelakangan ini dividen agak rendah.

"Peningkatan ini sedikit sebanyak akan menarik perhatian lebih ramai orang untuk menyimpan bersama ASB,” ulas Juminah.