SEMUA peminat bola sepak serta pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak seharusnya cepat melenting dengan sindiran pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai pencapaian membanggakan yang diraih Harimau Selatan.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, sindiran tersebut seharusnya dijadikan cabaran agar setiap pasukan menjadi lebih baik sekali gus dapat memastikan Liga-M berada pada tahap berkualiti.
"Sepatutnya kita perlu berterima kasih kepada JDT kerana mereka telah meletakkan satu tanda aras yang sangat baik untuk diikuti semua pasukan di negara ini.
"Jadi, jangan cepat melenting dan kita kena tengok positif apa yang diperkatakan oleh Tunku. Saya yakin Tunku bukanlah niat hendak malukan pasukan lain, tetapi baginda mahu melihat ada peningkatan dipamerkan setiap pasukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini, JDT meluaskan penguasaan saingan Liga Malaysia apabila meraih double quadruple selepas mengulangi kejayaan muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Skuad Harimau Selatan itu menamatkan saingan Liga Super 2023 dengan 76 mata hasil 25 kemenangan, seri sekali selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan.
JDT turut mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan 100 jaringan semusim, hanya dibolosi tujuh kali selain mendominasi saingan Liga Super untuk tempoh sedekad.
Tunku Ismail dalam beberapa hantaran di laman Instagramnya seolah-olah menyindir pasukan di Liga-M supaya mengagumi kehebatan dan tidak cemburu dengan pencapaian diraih JDT.
Malah, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor turut melaungkan cabaran kepada Selangor sebagai antara pasukan terkuat di Malaysia untuk tampil memecahkan rekod Harimau Selatan pada masa akan datang.
Pengendali JDT, Esteban Solari juga pernah menyatakan pasukan di Liga-M perlu tampil dengan kualiti lebih baik yang akan turut memacu peningkatan pasukannya.
Menurut Azlan, kejayaan yang diraih JDT itu juga bukan datang dengan cara yang mudah dan turut merangkumi kerja keras dan kesungguhan mendalam yang seharusnya menjadi contoh kepada pasukan lain.
"Selepas banyak musim, Tunku telah menunjukkan cara sebenar untuk menguruskan pasukan dan dalam masa sama terbuka untuk membantu pasukan lain menjadi lebih baik.
"Sudah tentu, kerja keras juga perlu dilakukan oleh setiap pasukan kerana jarak antara mereka dengan JDT sangat jauh dan jarak itu perlu dikecilkan.
"Dalam masa sama, saya percaya pasukan lain juga sedang berusaha tetapi belum cukup untuk menandingi JDT," katanya.