Amanah masih perlukan 'Abang Mat'

Iklan
Mohamad Sabu

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) masih memerlukan sentuhan dan ketokohan Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai presiden yang disegani lawan dan kawan untuk mengemudi serta menstabilkan parti itu.

Timbalan Pengerusi Amanah Pahang yang juga Ketua Amanah Kawasan Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, beliau percaya akan tiba masanya berlaku peralihan kuasa dan kepimpinan dalam parti.

Mohd Fadzli Mohd Ramly

Iklan
Iklan

"Tetapi sekarang bukan masanya. Berbaki tempoh satu penggal tempoh maksimum menjawat jawatan presiden menurut perlembagaan Amanah, buah fikiran Abang Mat (Mohamad Sabu) masih diperlukan mengemudi dan menstabilkan parti," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, Amanah tidak pernah ketandusan pelapis kepimpinan muda, dan pemilihan dalam parti itu boleh dijadikan medan untuk meletakkan mereka sebaris dalam saf kepimpinan baharu peringkat nasional.

Iklan

"Namun, seorang berpengalaman tetap diperlukan sebagai mentor untuk memimpin, mendidik dan membentuk generasi pemimpin pelapis yang berkualiti untuk negara ini.

"Kepimpinan bersama inilah dilihat mampu membentuk Amanah sebagai parti masa hadapan dan progresif," jelas beliau.

Iklan

Mohd Fadzli turut mengingatkan, bahawa Amanah mencapai kemuncak kejayaan di bawah kepimpinan Mohamad Sabu apabila memenangi 11 kerusi Parlimen dan membantu membentuk kerajaan sebanyak dua kali iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan PRU-15).

"Pemimpin Amanah telah dilantik mengetuai empat kementerian pada penguasaan buat pertama kalinya di peringkat kerajaan persekutuan. Di peringkat kerajaan negeri pula, Adly Zahari telah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka," jelas beliau.

Sehubungan itu beliau membidas tentang usaha untuk menukar kepimpinan baharu termasuk presiden parti itu atas alasan mahu ke hadapan dan diterima rakyat.

"Bagi menjawab premis ini, sewajarnya prestasi dan kedudukan Amanah pada hari ini diperhalusi demi penilaian yang saksama. Parti Amanah adalah komponen termuda usia kelahirannya dalam gabungan bersama Pakatan Harapan.

"Dalam usia remaja ini, Amanah telah diberikan kepercayaan memimpin beberapa Kementerian strategik setelah mengambil alih pemerintahan negara pada PRU-14 dan PRU-15 lalu.

"Pimpinan Amanah yang diketuai oleh presiden sendiri telah membuktikan kemampuan mereka untuk mentadbir dan membawa perubahan positif di peringkat kementerian masing-masing.

"Secara spesifik, Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah berjaya membawa negara keluar dari kemelut krisis makanan pasca pandemik Covid-19.

"Manakala, Timbalan Presiden Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula terkenal dengan idea Rahmahnya.

"Sehingga kini rakyat mendapat manfaat secara langsung dari inisiatif luar kotak ini," kata beliau.