Tiada kelibat pihak berkuasa, suasana di Menara Ilham seperti biasa

Iklan
Kakitangan yang bekerja di bangunan Menara Ilham dilihat memasuki premis tersebut seperti biasa pagi ini. - Foto Awani

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiada notis sitaan ditampal selain operasi di Menara Ilham di sini pada Jumaat, berjalan seperti biasa.

Tinjauan Sinar Harian sejak jam 1 petang mendapati bangunan yang menempatkan pejabat serta hotel itu masih boleh dimasuki oleh pekerja atau pun orang awam.

Iklan
Iklan

Kira-kira 10 petugas media tempatan turut 'berkampung' di hadapan bangunan terbabit sejak jam 10 pagi.

Setakat jam 3 petang, tidak kelihatan pergerakan dan kehadiran pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan tersebut.

Iklan

Seorang pekerja syarikat di dalam bangunan itu yang ditemui berkata, beberapa syarikat di dalam bangunan tersebut beroperasi seperti biasa meskipun sedia maklum berhubung notis sitaan berkenaan.

"Tiada pergerakan untuk mengosongkan unit yang kami sedang bekerja sekarang, semuanya masih dalam keadaan normal,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Difahamkan, Menara Ilham mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan SPRM mengesahkan menyita Menara Ilham, yang dimiliki oleh keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pada Isnin.

Media sebelum itu melaporkan satu notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 telah dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih, selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.

Menara Ilham dibina dengan anggaran kos AS$580 juta (RM2.7bilion) terletak di kawasan komersial dan hartanah kediaman bertingkat tinggi.

Mei lalu, SPRM dilaporkan sedang mengumpul maklumat membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion oleh seorang bekas menteri dan ahli perniagaan untuk siasatan berikutan pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICJ), juga dikenali sebagai Kertas Pandora, berhubung transaksi yang dijalankan di pusat kewangan luar pesisir.