Inflasi Malaysia meningkat pada kadar perlahan 1.5 peratus

Iklan
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Inflasi Malaysia terus merekodkan peningkatan pada kadar perlahan 1.5 peratus bagi November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 129.0 pada bulan yang sama 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi ini telah didorong kenaikan perlahan restoran dan hotel sebanyak 4.3 peratus (Oktober 2023: 4.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol, 2.6 peratus (Oktober 2023: 3.6 peratus) dan kesihatan, 2.3 peratus (Oktober 2023: 2.4 peratus).

Iklan
Iklan

"Selain itu, beberapa kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, 1.7 peratus (Oktober 2023: 1.6 peratus) serta pengangkutan 0.1 peratus (Oktober 2023: 0.0 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna, Malaysia November 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata, inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan tiada perubahan pada November 2023 berbanding Oktober 2023 pada 0.1 peratus.

Iklan

Beberapa kumpulan terus mencatatkan peningkatan secara bulanan antaranya pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus) dan kesihatan (0.2 peratus).

Walau bagaimanapun, ia diimbangi dengan penurunan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (-0.3 peratus), katanya.

Iklan

Mohd Uzir berkata, inflasi teras (2.0 peratus) masih melepasi inflasi keseluruhan Malaysia (1.5 peratus).

"Ini didorong oleh kumpulan restorandan hotel serta makanan dan minuman bukan alkohol yang masing-masing mencatatkan peningkatan sederhana 4.3 peratus dan 3.7 peratus pada November 2023,” katanya.

Beliau berkata, mengenai inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5 peratus.

"Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus), Sarawak (2.0 peratus), Perak (1.9 peratus), Pulau Pinang (1.8 peratus) dan Selangor (1.7 peratus),” katanya.

Beliau berkata, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pulau Pinang (3.7 peratus), Sarawak (3.6 peratus), Selangor (3.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (3.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.0 peratus), katanya.

Beliau berkata, sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 2.6 peratus pada November 2023.

Mohd Uzir berkata, bagi perbandingan dengan negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.1 peratus), Vietnam (3.5 peratus), Korea Selatan (3.3 peratus) dan Indonesia (2.9 peratus).

"Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-0.4 peratus) dan China (-0.5 peratus). - Bernama