Suami cerai isteri lepas hilang sebelah payudara akibat kanser

Iklan
Mimi (bukan nama sebenar) berkongsi kisah pahit diceraikan suami selepas kehilangan sebelah payudara selepas menjalani proses pembedahan akibat penyakit kanser yang dialami.

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas pesakit kanser berkongsi kisah pahit diceraikan suami kerana kehilangan sebelah payudara selepas menjalani pembedahan bagi mengelak penyakit itu merebak tujuh tahun lalu.

Wanita berusia 54 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mimi berkata, keputusan membuang payudara itu diambil berdasarkan saranan doktor kerana ketika itu dia disahkan menghidap kanser tahap empat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, keputusan yang diambil itu bertentangan dengan kehendak bekas suaminya yang mahukan dia menggunakan kaedah perubatan tradisional.

"Saya akur dengan nasihat doktor yang meminta saya menjalani pembedahan itu bagi mengelak sel kanser merebak. Tetapi, bekas suami ketika itu tidak mahu saya membuang payudara.

Iklan

"Walaupun dia tidak benarkan, saya tetap teruskan juga pembedahan kerana bagi saya ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa lebih penting," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di sini, pada Khamis.

Mimi mendakwa, suaminya yang berang dengan tindakannya itu bertindak membuat tuntutan cerai selepas dia menjalani pembedahan tersebut.

Iklan
Wan (bukan nama sebenar) melalui detik pahit dalam kehidupan disebabkan bekas suaminya culas membayar nafkah selepas mereka bercerai pada 2012.

"Sebelum lafaz cerai, dia pernah kata orang hidap kanser payudara macam saya ni hanya mampu hidup setahun sahaja.

"Saya kata, ajal, maut, jodoh itu semuanya atas ketentuan ALLAH SWT. Saya bersyukur, selepas tujuh tahun pembedahan saya masih bernafas seperti biasa," katanya yang mendakwa turut menghidap beberapa penyakit lain termasuk kemurungan akibat tekanan emosi daripada bekas suaminya itu.

Ibu kepada empat anak itu kini tinggal bersama anak keduanya dan mengakui kehidupannya kini tenang selepas diceraikan.

Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 47 tahun mendakwa, bekas suaminya terlalu culas membayar nafkah tiga anaknya dan pernah tertunggak sehingga RM10,000.

"Untuk nafkah anak hanya RM300 sebulan. Yang lain-lain tu saya tanggung sendiri sebab ketika kami bercerai tu anak-anak masih kecil.

"RM300 pun mana cukup nak tampung kos kehidupan termasuk hantar anak ke nurseri. Tapi yang itu pun dia (bekas suami) tak boleh bayar.

"Kalau nak ingat semua. Nak putar kembali waktu rasa perit ujian yang perlu ditempuh ketika bergelar ibu tunggal. Saya bersyukur sebab anak-anak dah besar. Semuanya sudah berada di alam sekolah menengah dan saya pun sudah bina kehidupan dengan suami baharu," ujarnya.