BESUT - Seorang warga emas terkejut apabila menemukan tiga ekor ular sawa tikus di sebalik rak dapur rumahnya di Kampung Gong Dasar di Jabi, di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, lelaki berkenaan segera menelefon pihak keselamatan sebelum ular tersebut berjaya ditangkap kira-kira jam 11 pagi pada Selasa lalu.
"Pada awalnya lelaki itu ternampak bahagian ekor ular ketika memasuki ruang dapur rumahnya sebelum menghubungi pihak APM.
"Pihak APM segera menggerakkan seramai lima anggota telah ke lokasi berkenaan.
"Setelah diperiksa terdapat tiga ekor ular masing-masing sepanjang kira-kira dua meter berada di bahagian belakang rak dapur rumahnya," katanya katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, pihak APM mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap haiwan itu.
"Biasanya, ular sawa tikus ini akan bergerak secara berpasangan, namun kali ini kita berjaya tangkap tiga ekor sekali gus di lokasi yang sama.
"Kita tidak menolak kemungkinan kehadiran haiwan itu disebabkan faktor musim hujan di mana ular berkenaan mencari tempat untuk berlindung," katanya.
Ramlan berkata, ular berkenaan telah dibawa ke pejabat APM Besut dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan kehadiran haiwan liar dan reptilia ketika musim tengkujuh.
"Orang ramai perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman reptilia dan haiwan berbisa yang lain lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh kerana ia mencari tempat berlindung," katanya.