Covid-19: KKM teliti trend tempahan slot vaksinasi di PPV

Iklan
Dr Dzulkefly - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti trend tempahan janji temu slot vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan akan meningkatkan jumlah slot di pusat yang mempunyai permintaan vaksinasi tinggi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, orang ramai boleh hadir ke PPV seperti yang tersenarai dalam MySejahtera secara tanpa janji temu bagi mendapatkan vaksinasi, namun ia bergantung kepada turutan mengikut waktu ketibaan dan ketersediaan vaksin di PPV pada hari berkenaan.

Iklan
Iklan

"Maklumat pertambahan atau perubahan kepada bilangan slot janji temu di sesebuah PPV akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga 21 Disember, sebanyak 426 klinik kesihatan seluruh negara menawarkan pemberian vaksin Covid-19.

Iklan

Dzulkefly berkata, sekiranya slot janji temu di sesebuah PPV telah penuh, orang ramai dinasihati memilih PPV lain yang masih mempunyai slot tempahan janji temu pada minggu berlainan.

Beliau turut menegaskan bahawa pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela, namun digalakkan terutama bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.

Iklan

Selain secara jumpa terus, orang ramai boleh membuat janji temu menggunakan aplikasi MySejahtera sebagaimana tatacara tempahan yang dibuat semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini. - Bernama