'Jelaskan salah faham SOP Covid-19 kepada pelancong'

Iklan
Pengusaha industri pelancongan tempatan diminta memberi penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kepada pelancong asing. - Gambar hiasan (Gambar kecil: King Sing)

PUTRAJAYA - Pengusaha industri pelancongan tempatan diminta memberi penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kepada pelancong asing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, maklumat palsu berhubung isolasi kes positif Covid-19 telah disalah tafsir oleh pelancong.

Iklan
Iklan

"Maklumat tidak benar mula bertebaran di media sosial sehingga menimbulkan panik dalam kalangan pelancong asing apabila memikirkan mereka akan dikuarantin sejurus tiba di negara ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, arahan lima hari pengasingan sebaik sahaja disahkan positif Covid-19 adalah bertujuan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pelancong yang datang ke negara ini.

Iklan

"Tambahan pula, langkah kawalan wabak yang sesuai juga adalah untuk memastikan pelancong berasa lebih selesa semasa perjalanan mereka di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk lebih meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jangkitan, termasuk memberi tumpuan kepada kaedah penyampaian maklumat pencegahan penularan, pendidikan dan publisiti.

Iklan

"Sekiranya disahkan positif, pesakit yang terjejas akan dikuarantin di rumah dan mereka yang mempunyai simptom teruk digesa untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Semua ini adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada semua orang," katanya.

Ujar King Sing, sebagai duta industri pelancongan negara, pemain industri merupakan pihak pertama yang berhubung dengan pelancong asing.

"Maka menjadi kewajipan dan tanggungjawab untuk kita memberi penjelasan mengenai salah faham atau kekeliruan berhubung perkara ini kepada pelancong sekali gus mengelakkan khabar angin tidak berasas itu terus tersebar," katanya.

Jangkitan Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini. Ia sejajar dengan trend peningkatan kes di peringkat global.