PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota menjadi antara pemain yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Masters Malaysia Perodua 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 7 hingga 12 Januari ini.
Pemain dari Jepun berumur 25 tahun yang merangkul 11 gelaran juara musim ini merupakan pilihan ramai untuk menjuarai kejohanan pembukaan musim yang menawarkan hadiah tunai AS$400,000 (RM1.637 juta).
Iklan
Iklan
Ia berikutan ketiadaan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya pada 13 Jun selepas menjalani pembedahan kanser hidung di Taiwan selain ketiadaan juara Olimpik dua kali Lin Dan dari China yang memutuskan untuk tidak menyertai Kejohanan BWF World Tour Super 500 itu.
Momoto dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur semalam tetap merendah diri dan menganggap Chong Wei dan Lin Dan antara legenda pemain badminton dunia berdasarkan kepada pelbagai kejayaan yang dicapai mereka.
Bintang Jepun yang membuat penampilan kali kedua akan berhadapan bekas pemenang Sukan Komanwel, Kashyap Parupalli dari India dalam pusingan pembukaan.
Musim ini menyaksikan Momota beraksi dengan cemerlang apabila memenangi beberapa kejuaraan termasuk mempertahankan gelaran juara dunia dan juara Asia selain memenangi gelaran juara All-England yang menyaksikan beliau dinamakan penerima anugerah Badminton World Federation (BWF) Player of The Year.
Lain-lain pemain ternama yang akan menyertai kejohanan ini nanti adalah pemain nombor dua dunia Chou Tien Chen dari Taiwan, pemain nombor tiga dunia, Chen Long dari China serta dua pemain Denmark iaitu Anders Antonsen dan Viktor Axelsen yang masing-masing ketika ini menduduki tempat keempat dan kelima dunia. - Bernama