Tommy Mawat mantapkan benteng Perak FC

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin (kiri) bersama Tommy Mawat. - Foto Facebook Perak Football Club

PERAK FC mengorak langkah awal dalam memperkuatkan The Bos Gaurus bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan apabila berjaya mendapatkan khidmat bekas bek kiri Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada.

Pengendali Perak, Yusri Che Lah berkata, faktor pengalaman selain mampu beraksi di beberapa posisi pertahanan antara sebab bekas pemain skuad Bawah 23 tahun negara itu menjadi pilihannya.

Iklan
Iklan

"Dia memang pemain yang saya mahukan. Kalau kita lihat, Tommy antara pemain yang serba boleh kerana mampu beraksi sama ada di bahagian pertahanan kiri atau pertahanan tengah.

"Dari segi taktikal, dia mempunyai kemahiran yang bagus serta memenuhi kriteria saya khususnya dalam perencanaan formasi atau strategi pasukan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu, melalui laman Facebook Perak Football Club, Tommy Mawat disahkan sebagai pemain rasmi skuad The Bos Gaurus bagi mengharungi kempen Liga-M 2024.

Untuk rekod, pemain kelahiran Sarawak berusia 28 tahun itu mencatat dua jaringan bersama Negeri Sembilan yang menamatkan cabaran Liga Super di kedudukan kesembilan.

Iklan

Selain itu, Yusri berkata kehadiran Tommy Mawat juga bagi memantapkan kesebelasan utama pasukan khususnya di benteng pertahanan.

"Kita ada masalah di bahagian pertahanan dan dengan adanya Tommy pada posisi (pertahanan) itu ia akan menambah kekuatan serta membantu barisan pemain sedia ada," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jurulatih berasal dari Perlis itu juga menegaskan usaha pencarian pemain baharu akan diteruskan oleh pihak pengurusan, namun ia bergantung kepada bajet yang ditetapkan.

"Kita akui sukar untuk mendapatkan pemain bergelar bintang, namun usaha pencarian (pemain baharu) tidak akan terhenti di sini. Penelitian serta bajet juga perlu diambil kira sebelum keputusan dibuat," katanya. - Bernama