Terjerat janji labur RM1,500 untung RM35,000

Iklan
Gambar hiasan

KUANTAN - Seorang pemilik syarikat mendakwa kerugian RM62,750 selepas menyertai pelaburan tidak wujud yang diketahui menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 40 tahun mendakwa mengetahui pelaburan itu menerusi pesanan yang dihantar ke akaun Telegram miliknya pada 16 Disember lepas.

Iklan
Iklan

"Mangsa mendakwa tertarik untuk menyertai pelaburan itu selepas dimaklumkan hanya perlu menanam modal di pelaburan itu, tanpa melakukan kerja lain, dan dijanjikan keuntungan RM35,000 jika melabur RM1,500.

"Bagi tujuan itu, mangsa mengeluarkan wang simpanannya untuk dipindahkan ke lima akaun bank diberikan suspek sebanyak sembilan kali," katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Mangsa hanya sedar ditipu selepas gagal menghubungi nombor diberikan suspek bagi mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan, menyebabkan dia membuat laporan di balai polis di Bentong, dekat sini semalam.

Pada kes berasingan, Yahaya berkata, seorang suri rumah mendakwa kerugian RM61,192.30 selepas terpedaya dengan syarikat menawarkan pekerjaan tidak wujud yang diketahuinya menerusi laman sosial Facebook pada 10 Disember lepas.

Mangsa yang berusia 33 tahun mendakwa diarahkan untuk menjawab soalan di Internet dan memberi penilaian kepada sebuah syarikat penerbangan di pautan yang diberikan untuk menerima komisen.

Iklan

"Mangsa mendakwa telah menerima RM474 selepas menyelesaikan tugasan itu, menyebabkan dia sekali lagi menghubungi suspek bagi mendapatkan tugasan baharu.

"Bagaimanapun, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran terlebih dahulu kononnya sebagai jaminan kerana tugasan baharu itu melibatkan bayaran bonus sebanyak tiga bulan," katanya.

Yahaya berkata, mangsa yang terpengaruh dengan janji suspek telah membuat 10 transaksi pemindahan wang dari akaun simpanannya ke enam akaun diberikan mangsa.

Mangsa membuat laporan polis di balai polis di Kuala Lipis dekat sini, semalam, selepas masih tidak menerima tugasan dijanjikan walaupun telah membuat bayaran yang banyak.

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di https://semakmule.rmp. gov.my untuk mengurangkan risiko ditipu.- Bernama