SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemilik video tular yang memaparkan seorang wanita berjalan kaki dan diekori seorang lelaki menaiki kereta Proton Waja, telah membuat permohonan maaf kerana menyebabkan timbulnya persepsi negatif.
Pengguna TikTok @fiedhacoway menjelaskan, dia sama sekali tidak berniat untuk mengaibkan pasangan berkenaan.
Menurutnya, pada masa itu dia cuma mahu merakam keadaan sekeliling untuk dikongsikan di laman sosial, Instagram sementara menunggu ibunya selesai membeli barang.
"Kebetulan ada dua orang warganegara Pakistan lalu di sebelah saya yang sedang membuka plastik ais krim, jadi saya merasakan perkara itu ‘sweet’.
"Itu yang membuatkan saya mahu rakam.
"Pada masa sama, mata saya dah nampak kakak itu jalan kaki berseorangan tetapi saya tiada niat mahu rakam ke arah dia,” katanya menerusi satu rakaman di TikTok pada Khamis.
Sebelum ini, rakaman berkenaan telah tular di pelbagai platform media sosial sehingga ramai yang menjadikan ia sebagai kandungan parodi.
Tambah wanita itu, kejadian tersebut merupakan satu momen yang jarang terjadi untuk disaksikan.
"Saya juga pernah buat macam itu, cuma bezanya saya naik motosikal.
"Dan saya rasa paling menakjubkan, kereta di belakang kereta Proton Waja itu, sama sekali tidak ada yang tekan ‘hon’,” ujarnya.
Dalam pada itu, wanita berkenaan turut mendoakan agar ALLAH SWT mempermudahkan urusan pasangan tersebut.