AKSI persahabatan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) menentang China di Shanghai pada Sabtu dan Selasa menjadi pentas buat pemain muda membuktikan keupayaan mereka di pentas antarabangsa.
Penganalisis sukan, Safirul Azli Abu Bakar berkata, dua perlawanan tersebut juga mampu menjadi pengalaman berguna buat mereka untuk meningkatkan prestasi menjelang sepak mula Piala Asia B-23 April 2024.
"Ketepikan sebarang kritikan di luar padang, sebaliknya fokus kepada permainan. Ini peluang terbaik buat mereka buktikan kemampuan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Perlawanan di Shanghai itu merupakan sebahagian persiapan skuad bimbingan Juan Torres Garrido mengharungi kempen Kumpulan D Piala Asia.
Skuad harimau muda akan membuka tirai aksi menentang Uzbekistan pada 17 April, disusuli perlawanan dengan Vietnam tiga hari kemudian dan berdepan Kuwait pada 23 April.
Safirul yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berkata, pertemuan dengan China juga mampu menjadi medan buat barisan kejurulatihan menilai taktikal dan keserasian dalam kalangan pemain.
Malah beliau berkata, taktikal pasukan senior yang mahu diterapkan kepada skuad muda perlu disesuaikan dengan kemampuan serta prestasi setiap pemain.
"Pasukan utama ada naturalisasi dan pemain berpengalaman, berbanding skuad muda 100 peratus pemain tempatan. Keupayaan mereka berbeza.
"Saya pasti jurulatih mampu melakukannya berdasarkan prestasi dan kemampuan para pemain muda negara,” katanya.